Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bekas timbalan ketua pengarah kesihatan Dr Jeyaindran meninggal dunia


Tarikh kemaskini: 19/08/2019





KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Jeyaindran, 64, tokoh terkenal dalam kalangan pengamal perubatan di negara ini, meninggal dunia pada awal  pagi ini akibat serangan jantung.

Anak kepada mendiang Tan Sri Dr C. Sinnadurai, bekas Senator dan Presiden Kongres Ceylon Malaysia (1964-1984), bersara pada 31 Mei tahun lalu selepas 38 tahun berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan termasuk antara lain sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) dan Pakar Perunding Kanan Perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).   

Mendiang juga aktif dalam kerja-kerja amal, dan antara pelopor Yayasan myNadi yang membantu golongan kurang bernasib baik dan beliau turut menawarkan khidmat mengajar di sebuah kolej selama beberapa hari dalam seminggu, sejak bersara.

Isteri mendiang Datin Seri Sunita Rajakumar, 51, berkata suaminya mendapat serangan jantung kira-kira 1 pagi ini, di kediaman mereka di Jalan Maktab di sini.

“Sementara menunggu ambulans, saya cuba memulihkan pernafasannya dengan melakukan CPR tetapi tidak berjaya. Beliau tidak sedarkan diri, dan kemudian dibawa ke HKL menaiki ambulans dan beliau kemudian disahkan meninggal dunia,” kata Sunita yang juga anggota pengasas Inisiatif Tadbir Urus Iklim (CGI) di Malaysia.

Sunita berkata suaminya sangat disenangi ramai dan sentiasa baik serta mengambil berat mengenai kakitangannya, rakan-rakan dan keluarga serta individu di sekelilingnya.

“Beliau sangat bersemangat tentang penjagaan kesihatan negara, menyasarkan untuk meningkatkan piawaiannya ke peringkat antarabangsa untuk manfaat rakyat Malaysia,” katanya merujuk kepada visi suaminya dalam penjagaan kesihatan negara.

Upacara penghormatan terakhir Dr Jeyaindran akan diadakan di rumahnya di Jalan Maktab di sini manakala majlis pengebumian akan diadakan pada Rabu di Krematorium Cheras, Jalan Kuari di sini.

Dr Jeyaindran yang berasal dari Alor Star, Kedah, memperoleh ijazah perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1980. 

Pada 2015, Dr Jeyaindran mengetuai pasukan pakar yang merawat Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Presiden PKR itu menjalani hukuman penjara. 

Hari ini, Anwar dan isteri, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Dr Jeyaindran melalui Twitter.

Anwar dalam Tweetnya berkata: Datuk Dr Jeyaindran terlibat dalam rawatan kecederaan bahu saya. Semoga keluarganya diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat-saat yang sukar ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ketika ditemui selepas memberi penghormatan terakhir, menyatakan kesedihannya atas kematian Dr Jeyaindran.

“Kami akan sentiasa mengingati beliau atas sumbangannya ketika berkhidmat. Kami bersama-sama apabila menyelesaikan masalah dalam pentadbiran dan perkhidmatan, termasuk masalah kesesakan hospital dan bagaimana mahu meningkatkan perkhidmatan kami. 

“Ingatan dan doa kami untuk keluarga dan rakan-rakan mendiang. Beliau merupakan seorang sahabat dan guru yang hebat dan sudah pasti kami akan merasai kehilangannya,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Usaha promosi produk tempatan melalui e-dagang langkah tepat - Saifuddin

 
     

Pesakit kanser tahap empat tangguh rawatan akibat kekangan kewangan

 
     

Sukarelawan sepenuh masa APM bakal terima perlindungan Perkeso

 
     

Aduan kebersihan tandas KLIA berkurang 80 peratus

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel