Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Selangor pertimbang cadangan SPRM supaya ADUN isytihar harta


Tarikh kemaskini: 19/08/2019





SHAH ALAM, 19 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan mempertimbangkan cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut mengisyitharkan harta masing-masing.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, cadangan itu akan dilaksanakan sekiranya ada keperluan sepertimana Exco Selangor diminta untuk mengisytiharkan harta mereka susulan mereka mempunyai kuasa eksekutif dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Kita sedia merangka dan berbincang kalau ada keperluan untuk ADUN isytihar harta...tetapi sebahagian besar (ADUN) tidak terlibat dalam kuasa eksekutif sebab itu keputusan kerajaan negeri sebelum ini menghadkan isytihar harta pada Exco.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR)  di sini, hari ini.

Terdahulu, Amirudin mengetuai barisan Exco kerajaan negeri melafaz ikrar dan menandatangani IBR dengan disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata kerajaan Selangor komited memerangi rasuah dan  menggesa semua penjawat awam negeri itu menolak rasuah.

Beliau berkata Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor yang dikuatkuasakan sejak 2011 adalah antara usaha kerajaan negeri dalam memerangi kegiatan rasuah di negeri itu.

"Di bawah enakmen ini, orang ramai diberi kebenaran untuk melihat sendiri dokumen rasmi kerajaan negeri, jadi orang awam boleh semak dan nilai sendiri apa yang kerajaan negeri lakukan.

"Kita hanya dianggap berjaya jika kita berjaya membuktikan betapa pengurusan kewangan yang bertanggungjawab membolehkan kita betul-betul membantu orang yang susah dan yang mengupayakan mereka yang lain dengan pemberian peluang yang lebih baik," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel