Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Zakir Naik tidak dibenarkan berceramah di Melaka


Tarikh kemaskini: 19/08/2019





MELAKA, 19 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri hari ini memutuskan untuk tidak membenarkan penceramah bebas Dr Zakir Naik menyampaikan ceramahnya dalam apa-apa program di sini sebaliknya mengalu-alukan kedatangannya untuk melancong ke Melaka.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata ini adalah bagi memastikan perpaduan dan keharmonian kaum di negeri ini terus dipelihara dan Zakir menurutnya perlu lebih memberi fokus kepada aktiviti berdakwahnya dan tidak menyentuh politik perkauman.

"Tidak dibenarkan sebarang program untuk Zakir diadakan di Melaka, namun beliau dialu-alukan untuk melancong ke Melaka bagi mengenali keharmonian hidup bermasyarakat.

“Datanglah ke Melaka untuk melihat sendiri bagaimana keharmonian masyarakat di negeri ini yang dapat hidup dalam keadaan aman damai dan harmoni dengan kepelbagaian kaum dan jadikanlah Melaka sebagai model perpaduan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Pada 17 April 2016, pendakwah dari India itu pernah membuat ceramah di negeri ini dengan dihadiri lebih 20,000 pengunjung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Hari ini,  Zakir dipanggil ke Bukit Aman untuk diambil keterangannya bagi kali kedua, selepas yang pertama pada Jumaat lepas (16 Ogos), mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam.

Zakir dalam ceramahnya di Kota Bahru, Kelantan pada 3 Ogos lepas dilaporkan telah membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia.

 Beliau dilaporkan mendakwa penganut Hindu di negara ini lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi, berbanding Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga dilaporkan membuat kenyataan kritis terhadap kaum Cina Malaysia dengan berkata mereka perlu terlebih dahulu keluar dari negara ini sebagai respons kepada desakan agar beliau diusir dari negara ini. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel