Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kertas siasatan kes kematian Syed Muhammad Danial diserah kepada DPP


Tarikh kemaskini: 19/08/2019





SHAH ALAM, 19 Ogos (Bernama) -- Polis telah menyerahkan kertas siasatan membabitkan kematian seorang pemandu, Syed Muhammad Danial Syed Shakir, 29, kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) hari ini. 

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata pihaknya telah melengkapkan siasatan dan kini menunggu arahan daripada pihak DPP untuk tindakan lanjut.

"Selepas arahan diterima daripada DPP kita akan menjalankan tindakan selanjutnya dan keputusan terpulang kepada pendakwa raya," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Selangor, SAC Datuk K.Kumaran.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani nota kerjasama di antara Polis Selangor dan syarikat teksi PicknGo Sdn Bhd.

Dalam kejadian pukul 1.40 petang pada 10 Ogos lepas, Syed Muhammad Danial maut setelah berlaku perselisihan faham dalam kemalangan kecil di Kilometer 239 Lebuhraya Utara Selatan, Kajang, berhampiran susur Bandar Baru Bangi.

Akibat kemalangan itu, polis menahan sepasang suami isteri, masing-masing berumur lingkungan awal 40-an dan lewat 30-an bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat.

Pada 17 Ogos lepas, tahanan reman terhadap suspek lelaki dalam kes berkenaan disambung sehingga Khamis ini sementara suspek perempuan yang juga isteri suspek lelaki itu dibebaskan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif PicknGo Sdn Bhd, Valeri Chan berkata, kerjasama ini antara inisiatif PicknGo bersama pihak polis dalam membanteras jenayah secara berterusan.

"Pembangunan aplikasi tempahan teksi ini yang pertama di negara melaksanakan penggunaan butang SOS untuk keselamatan penumpang dan pemandu di mana keupayaannya berhubung secara terus dengan Pusat Kawalan Berpusat Polis (CCC)."

"Satu lagi inisiatif yang dilaksanakan ialah pembayaran tanpa tunai di mana kami bekerjasama dengan beberapa penyedia kemudahan e-pembayaran untuk memastikan penumpang boleh membuat pembayaran melalui e-dompet mereka," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel