Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Portal Wilayahku dilancarkan, usaha tangkis berita palsu


Tarikh kemaskini: 19/08/2019





PUTRAJAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini melancarkan portal berita Wilayahku, sebagai platform menyiarkan berita berkredibiliti bagi menangani penyebaran berita palsu di media sosial.

Portal yang boleh dilayari di www.wilayahku.com.my itu merupakan lanjutan daripada penerbitan akhbar Wilayahku yang dilancarkan pada 4 Jan lepas diurus terbit oleh Wilayah Media Sdn Bhd, anak syarikat Yayasan Wilayah Persekutuan.

Menterinya Khalid Samad ketika melancarkan portal itu di sini hari ini berkata, adalah diharapkan rakyat mendapat maklumat yang tepat melalui portal itu, serta membuat pilihan pada Pilihanraya Umum ke-15 bukan berasaskan kepada maklumat kurang tepat di media sosial.

"Kehadiran portal Wilayahku penting untuk menangkis penyebaran siaran berita palsu, di mana terdapat laporan pada masa ini yang lebih cenderung untuk mengadu-domba antara satu pihak dengan pihak yang lain,” katanya.

Khalid turut melancarkan buku 365 Hari Mengurus Transisi Memenuhi Harapan setebal 117 muka surat, yang merupakan koleksi ucapan rasmi menteri sepanjang setahun beliau diberikan amanah menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan.

Katanya buku itu melibatkan pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan di peringkat kementerian dan agensi, serta menampilkan 10 kejayaan utama yang telah dicapai menerusi pembangunan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dalam tempoh setahun lalu.

Sementara itu Khalid berkata, beliau masih menunggu laporan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) mengenai kemalangan pada 2 Ogos, melibatkan lif Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur.

“DOSH yang perlu menyediakan laporan dan saya dimaklumkan, ianya telah dihantarkan ke ibu pejabat DOSH. Kini kita perlu mendapatkan laporan tersebut daripada mereka dan dihantarkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Jadi kami sedang menunggunya.

“Saya perlu dapatkan laporan (rasmi) tersebut, sebelum saya boleh membuat sebarang komen,” katanya dan menambah, ada kemungkinan sebab kemalangan tersebut boleh diketahui minggu ini.

Dalam kejadian itu, lif tesebut terhempas daripada tingkat lima ke tingkat bawah, dipercayai akibat kegagalan sistem brek yang menyebabkan lapan orang cedera.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel