Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pendengaran permohonan semakan Najib terhadap perintah penangguhan dijadual semula 4 Dis


Tarikh kemaskini: 19/08/2019





PUTRAJAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Pendengaran permohonan semakan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan perintah bagi penangguhan sementara perbicaraan SRC International Sdn Bhd, dijadualkan semula ke 4 Disember.

Peguam Najib, Syahirah Hanapiah berkata mahkamah telah menjadualkan semula pendengaran semakan itu yang pada mulanya ditetapkan 4 Sept.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menghadiri pengurusan kes berhubung perkara itu di hadapan timbalan pendaftar Azniza Mohd Ali dalam kamar hari ini.  

Beliau berkata pasukan pembelaan berhasrat untuk meneruskan permohonan semakan itu atas dasar  prinsip sekalipun kes pendakwaan dalam perbicaraan SRC hampir sampai ke penghujungnya.

Timbalan pendakwa raya Poh Yih Tinn hadir bagi pihak pendakwaan dalam prosiding pengurusan kes hari ini.

Pada 27 Mac tahun ini, panel tujuh anggota Mahkamah Persekutuan diketuai bekas Ketua Hakim Negara  Tan Sri Richard Malanjum (kini bersara) mengetepikan perintah penangguhan prosiding yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan pada 11 Feb tahun ini kepada Najib sehingga selesai rayuannya mengenai perkara interlokutorinya.

Najib, 66, menghadapi tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta. Perbicaraan beliau sedang berlangsuing di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib dituduh melakukan pecah amanah jenayah di AmIslamic Bank Berhad, bangunan Kumpulan Ambank di  Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur antara 24 Dis, 2014, dan 29 Dis, 2014, dan bagi tuduhan pengubahan wang  haram, beliau dituduh melakukannya di tempat yang sama antara 26 Dis 2014, dan  10 Feb, 2015.

Bagi dakwaan menggunakan kedudukannya melakukan rasuah di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Najib dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri di   Putrajaya antara 17 Ogos, 2011, dan 8 Feb, 2012.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel