Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

FAMA bantu pasarkan 50 peratus duku Terengganu


Tarikh kemaskini: 19/08/2019





KUALA BERANG, 19 Ogos (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membantu pengusaha duku Terengganu memasarkan hasil tanaman mereka di seluruh negara, dengan membeli 50 peratus buah berkenaan, tahun ini.

Pengarah Kanan Khidmat Pemasaran (Segar) FAMA, Mohd Anis Mohd Yasin berkata pengeluaran duku Terengganu dijangka mencecah hampir 5,000 tan metrik, hasil tuaian daripada 404 hektar kebun yang diusahakan lebih 1,000 pengusaha di seluruh negeri itu, dalam tempoh tersebut.

Beliau berkata pihaknya akan mempergiatkan promosi duku Terengganu bagi mengatasi risiko lambakan buah tersebut di pasaran.

"Setakat ini, duku ini hanya boleh dieksport ke pasaran Singapura dan Indonesia memandangkan jangka hayat selepas duku dituai tidak lama dan mudah rosak...hanya bertahan sekitar tiga hari.

"Kita masih belum menemui teknologi boleh memanjangkan jangka hayat duku mencapai dua hingga tiga minggu, untuk pasaran eksport yang lebih jauh. Kita masih berusaha untuk mencipta teknologi itu dengan kerjasama agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian jual beli ladang kontrak melibatkan sembilan peserta di Kampung Durian Bador di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah FAMA Terengganu, Fauzi Mohamed.

Mohd Anis berkata duku Terengganu adalah antara terbaik di negara ini kerana mempunyai keunikan tersendiri dengan kemanisan, kekenyalan, berbiji kecil dan rasa sejuk apabila dimakan.

Seorang peserta ladang kontrak duku, Alias Ismail, 61, berkata beliau sudah bekerjasama dengan FAMA sejak 10 tahun lalu dan sangat berpuas hati dengan harga ditawarkan setakat ini.

"Alhamdulillah, walaupun pernah berlaku lambakan duku satu ketika dahulu, harga ditawarkan FAMA masih berpatutan...paling murah pernah ditawarkan ialah RM1.50 untuk sekilogram, namun ia jauh lebih tinggi berbanding pemborong lain, hanya RM0.70 atau RM0.80 untuk sekilogram.

"Kebiasaannya, FAMA ambil harga di ladang RM2.20 sekilogram manakala harga pasaran RM4. Bagi pekebun yang berusia dan tidak berkemampuan memasarkannya sendiri, mereka lebih suka menjual duku kepada FAMA kerana harganya lebih stabil dan terjamin," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     

Jerebu: penduduk Melaka hadkan aktiviti luar

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel