Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pahang pantau kawasan industri langkah elak pencemaran


Tarikh kemaskini: 19/08/2019





KUANTAN, 19 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri memberi perhatian dan memantau kawasan perindustrian terutamanya perindustrian berat dan sederhana di seluruh negeri sebagai langkah mengelakkan kejadian pencemaran industri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, antara kawasan yang terlibat ialah kawasan perindustrian Gebeng di sini dan Pelabuhan Kuantan. 

Ia juga meliputi Taman Perindustrian Kuantan Malaysia China (MCKIP), Kawasan Perindustrian Semambu di sini, Kawasan Perindustrian Bentong dan Mentakab di Temerloh. 

"Jabatan Alam Sekitar negeri juga sentiasa melakukan penguatkuasaan tahunan dan memeriksa secara berkala kilang yang berpotensi untuk mencemarkan alam sekitar termasuk pemeriksaan lapangan dan mewajibkan keperluan laporan pematuhan oleh juruaudit pihak ketiga," katanya. 

Mohd Sharkar berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, bagi menjawab soalan Lee Chin Chen (PH-Bilut) yang ingin tahu tindakan kerajaan bagi memastikan pencemaran industri yang berlaku di negeri lain tidak berlaku di sini.

Kerajaan negeri, menurut Mohd Sharkar juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Pelupusan Buangan Berbahaya pada 15 Mei lepas yang melibatkan keanggotaan pelbagai agensi terlibat dalam isu itu. 

Mohd Sharkar berkata, Pahang negeri pertama mengambil inisiatif mewujudkan jawatankuasa itu, sebaik sahaja berlaku pencemaran industri di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor. 

"Jawatankuasa ini berfungsi untuk memastikan tindakan cepat dan tepat dapat dilaksanakan setiap agensi berkaitan dalam pelupusan bahan buangan yang berbahaya untuk kepentingan dan keselamatan rakyat. 

"Mesyuarat pertama jawatankuasa pada 5 Julai 2019 telah membincangkan tindakan susulan terhadap input yang diberikan Agensi Remote Sensing berkaitan kawasan yang disyaki berdasarkan cerapan imej satelit," katanya. 

Semua agensi terlibat perlu melakukan verifikasi dalam tempoh sebulan dan tindakan yang sewajarnya bagi memastikan tiada bahaya dalam pembuangan bahan industri itu. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     

Jerebu: penduduk Melaka hadkan aktiviti luar

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel