Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Nama Muaz tiada dalam senarai Sukan SEA - Abu Samah


Tarikh kemaskini: 19/08/2019





KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Pelumba MTB (mountain bike) dari Selangor, Muaz Abd Rahim terpaksa menerima keputusan bahawa namanya tidak berada dalam skuad kebangsaan ke Sukan SEA di Filipina akhir tahun ini.

Biarpun pelumba berusia 30 tahun itu melakar kejutan besar untuk muncul juara kategori elit acara rentas desa Olimpik di Kejohanan Lumba Basikal MTB Kebangsaan 2019 (MTB 2019) di Taman Cabaran Putrajaya semalam, namanya tercicir dari senarai atlet ke Filipina.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata ia berikutan pihaknya telah mendaftarkan senarai nama atlet ke Sukan SEA, sebelum kejohanan itu berlangsung.

“Kita telah hantar nama lebih awal, setelah itu barulah kita adakan Kejohanan Lumba Basikal MTB Kebangsaan. Saya berharap Muaz tidak akan patah semangat untuk terus menyerlah dan menyarung jersi kebangsaan pada satu hari nanti, kerana masih muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Muaz mencatatkan 1 minit dan 28.08 saat untuk mengejutkan beberapa jaguh veteran termasuk, Muhammad Fauzan Ahmad Lufti dan Muhammad Elmi Jumari – dua tonggak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dianggap jauh lebih handal daripadanya.

Pelumba Sarawak, Adrian Laurel Lauridsen turut melakukan kejutan apabila meraih tempat kedua, dengan ketinggalan 0.44s, diikuti pelumba tuan rumah Muhammad Aidil Taufid Affendi.

Sementara itu, pelumba Terengganu, Saniy Syahmi Mohd Safiee (1:29.877s) muncul juara elit kebangsaan acara turun bukit MTB 2019 menewaskan pesaing dari Selangor, Norshahriel Haizat Ahmad Nazali dan Zulfikri Zulkifli dari Terengganu yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Bagi acara turun bukit elit wanita, pelumba Selangor Siti Natasha Mohd Basri muncul juara dengan catatan masa 1:39.007s diekori pelumba Pahang, Nia Vanessa Suhana Zaidi dan Athirah J Sam dari Selangor untuk melengkapkan podium.

Anak pelumba terkenal, Nur Deena Safia Nur Effandy yang mewakili Putrajaya muncul juara elit rentas desa Olimpik wanita, dengan catatan masa 1:31.53s diekori pelumba Terengganu, Mustika Ayuni Mustofa dan Ainie Markus dari Sabah.

Nur Effandy Rosli merupakan pemenang pingat perak Sukan Komanwel 1998, dan kini melatih skuad MTB Putrajaya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel