Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jiran dengar mangsa kebakaran jerit minta tolong


Tarikh kemaskini: 19/08/2019




HULU SELANGOR, 19 Ogos (Bernama) -- "Makcik dengar seorang wanita menjerit meminta tolong, tapi apakan daya tiada kudrat untuk membantu, kerana api dah marak dengan cepat," itu perkongsian jiran mangsa kebakaran di Kampung Alah Batu, Ulu Bernam di sini, awal pagi tadi.

Rabaiah Yunus, 58, yang tinggal di sebelah rumah mangsa berkata ketika mendengar jeritan meminta tolong, beliau baharu sahaja bangun dari tidur untuk memasak, kerana anak perempuannya mahu pulang ke Manjung.

"Menantu (lelaki) makcik secara kebetulan baharu bangun dari tidur terdengar bunyi bising, menyangka ada pencuri, tetapi apabila keluar rumah nampak api makin besar dan marak.

"Kami tak dapat nak tolong apa-apa cuma makcik hanya mampu menjerit minta tolong dengan jiran di sini, namun masa itu semua orang tengah tidur," katanya dalam nada sebak ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3.51 pagi tadi, mangsa Mohd Sharidan Abdul Aziz dan isteri Siti Rafini Mohd Rafiee, masing-masing berumur dalam lingkungan 30-an, serta anak lelaki mereka Rafiq Mohd Sharidan berusia dalam lingkungan setahun, ditemui maut dalam sebuah bilik di rumah yang mengalami kebakaran.

Rabaiah berkata mangsa sekeluarga yang baharu berpindah di situ sejak Januari lalu merupakan jiran yang sangat baik, dan menganggap mereka sekeluarga seperti anaknya sendiri.

Sementara itu, bapa Mohd Sharidan, Abdul Aziz Mohd Idris, 58, berkata mangsa anak ketiga dari lima beradik itu memang rapat dengannya dan merupakan anak yang menyenangkan.

"Kali terakhir saya bertemu dengannya semalam, kerana kebetulan rumah saya mengadakan kenduri bertunang anak saudara dan mangsa tidak menunjukkan apa-apa perubahan ketika itu.

"Sebelum dia (mangsa) pergi berniaga memang dia akan singgah di rumah dahulu dan boleh dikatakan hampir setiap hari kami bertemu.

"Saya sekeluarga menerima apa yang telah terjadi dan reda dengan kehilangan anak serta menantu dan cucu kami," katanya.

Katanya pasangan suami isteri itu yang berniaga ayam goreng berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Besout dekat sini. 

Difahamkan, kesemua jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Slim di sini, selepas bedah siasat selesai dilakukan di Unit Forensik Hospital Slim River.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel