Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PDF: Tiada permohonan rasmi spesifik dari Lynas


Tarikh kemaskini: 19/08/2019





KUANTAN, 19 Ogos (Bernama) -- Kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) setakat ini, tiada mengemukakan permohonan rasmi secara spesifik lokasi Tapak Pelupusan Kekal (PDF), bagi residu Water Leach Purification (WLP) yang dikatakan akan dibangunkan di Pahang.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata setakat ini, pihak kerajaan negeri juga tidak pernah berbincang dengan Lynas mengenai isu PDF, yang merupakan sebahagian daripada syarat pelanjutan lesen operasi kilang tersebut.

"Jika ada perbincangan atau permohonan sekali pun, sudah pasti kerajaan negeri akan beri keutamaan kepada keselamatan rakyat. Itu kita amat jelas. Kita tidak akan buat semberono, dalam isu keselamatan rakyat. 

"... dalam masa sama, ini juga melibatkan aspek pelaburan, kerana Lynas melabur sehingga bilion di negara ini. Kita akan teliti semua aspek dalam isu ini. Kita mendengar pandangan pakar. Jika pakar kata ia (Lynas) tidak bahaya, maka kita beri perhatian.

"Jika bukan pakar, siapa lagi yang hendak kita dengar? Kita bukannya pakar dalam bidang ini. Sudah pasti kerajaan negeri tidak akan buat sesuatu yang membahayakan rakyat," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini. 

Wan Rosdy berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Lee Chean Chung (PH-SEMAMBU), yang merujuk kepada laporan sebuah akhbar sebelum ini yang mendakwa lima lokasi di Pahang dikenal pasti sebagai lokasi berkemungkinan PDF iaitu Lepar, Luit, Padang Tengku, Bukit Ibam dan Chini.

Beliau juga menjelaskan bahawa Lynas yang berasal dari Australia dan kini beroperasi di kawasan perindustrian Gebeng di sini, merupakan pelaburan yang dibawa masuk Kerajaan Pesekutuan terdahulu, menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Kenyataan itu disokong Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin yang mengatakan, kerajaan Persekutuan dahulu telah mencadangkan Lynas beroperasi di Pahang. 

"Jadi sekarang kita menunggu jawapan kerajaan Pusat... jika mereka kata (Lynas) selamat, maka selamatlah. Kerajaan negeri bukan ada kepakaran seperti kerajaan Persekutuan, yang ada pelbagai kepakaran teknikal," katanya. 

Mohd Sharkar berkata kepakaran teknikal itu termasuklah Lembaga Perlesenan Tenaga Atom dan Agensi Nuklear Malaysia, yang lebih terlatih dalam bidang berkaitan operasi Lynas dan radiasi. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     

Jerebu: penduduk Melaka hadkan aktiviti luar

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel