Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sistem tram pelengkap pengangkutan awam bandar


Tarikh kemaskini: 19/08/2019





SEREMBAN, 19 Ogos (Bernama) -- Sistem pengangkutan awam Malaysia, yang satu ketika dahulu lebih banyak bergantung kepada perkhidmatan bas untuk pergerakan seharian masyarakat, kini semakin berevolusi selari dengan kemajuan yang dicapai zaman semasa.

Sistem pengangkutan bandar di negara ini menurut Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin bermula dengan perkhidmatan bas pada sekitar awal tahun 60-an, sebelum pengangkutan persendirian mula mengambil tempat pada sekitar tahun 70-an dan 80-an, sehingga kini.

Pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Jabatan Kejuruteraan Infrastruktur dan Geomatik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor, itu berkata, serentak itu bagi menampung bilangan penduduk yang semakin meningkat khususnya di bandar-bandar besar dan bandar raya, sistem pengangkutan rel dan transit pada awalnya, telah diwujudkan dan diperluaskan.

Mengambil contoh Kuala Lumpur, beliau berkata sistem pengangkutan rel bermula dengan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel, sebelum diperkenalkan dengan sistem Transit Ali­ran Massa (MRT), yang kesemuanya diwujudkan bertujuan memudahkan pergerakan masyarakat, dari kawasan sekitar bandar, ke pusat bandar dengan lebih efisyen.

“Sistem LRT dan monorel adalah sistem dalam bandar, manakala MRT dan komuter serta Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) adalah untuk menghubungkan kawasan bandar dan sub-bandar,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mohd Idrus yang juga Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) berkata, bagi memperkasa dan membangunkan industri rel tempatan, serta meningkatkan keberkesanan sistem pengangkutan dalam bandar, sudah tiba masanya sistem tram diperkenal dan diwujudkan, oleh kerajaan.

Katanya ini sekali gus akan menjadi pelengkap kepada pengangkutan awam sedia ada di negara ini, serta mampu meningkatkan lagi mobiliti penduduk khususnya di dalam bandar.

“Sistem tram yang dicadangkan ini seharusnya mempunyai sistem ‘signalling’ dan kawalan pusat operasi yang menggunakan teknologi digital terkini.

“Walaupun sekali imbas sistem ini seakan sistem LRT, tetapi memandangkan saiz dan kesesuaiannya untuk melalui kawasan jalan raya sedia ada, tram dilihat pada masa hadapan adalah pengganti kepada sistem bas. Sistem tram ini juga boleh diintegrasikan dengan semua sistem pengangkutan awam yang lain,” katanya.

Pada 6 Mac tahun lepas, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dipetik sebagai berkata sistem tram akan diperkenalkan di Putrajaya, Cyberjaya, Kajang dan Bangi.

Kelestarian sesebuah bandar raya kata Mohd Idrus, banyak bergantung kepada perancangan dan perlaksanaan yang strategik, dalam mewujudkan sistem pengangkutan awam yang berkesan dan mampan.

“Terdapat beberapa faktor utama dalam mewujudkan sistem pengangkutan rel yang mampan bagi bandar yang perlu diambil kira iaitu, kemampuan dan keselamatan pengguna, keberkesanan sistem, nisbah kos terhadap manfaat, serta kemampuan sistem operasi bagi jangka pendek serta jangka panjang,” katanya.

Selain itu katanya, penggunaan teknologi baru selaras dengan perkembangan Revolusi Industri Keempat (IR4.0) adalah amat digalakkan, bagi memastikan sistem tram yang akan diwujudkan itu lebih efisyen dan berdaya saing.

“Perkara yang lebih penting ialah pemain dalam industri pengangkutan khususnya rel, perlulah lebih proaktif dan sentiasa melaksanakan penambahbaikan kaedah penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel