Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ikan Lunak produk hiliran baharu nelayan di Tok Bali


Tarikh kemaskini: 19/08/2019




Oleh Bashariah Zainuddin

BACHOK, 19 Ogos (Bernama) -- Bagi membantu mereka yang terlalu sibuk dan tidak ada masa untuk memasak, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPEK) Universiti Malaysia Kelantan (UMK)  menghasilkan inovasi yang membolehkan orang ramai menikmati sajian ikan tanpa perlu dimasak atau dipanaskan, cuma tuang terus daripada bungkusan.

Menggunakan jenama ‘Ikan Lunak’, teknologi ini apabila dikomersialkan kelak mampu menyumbang satu lagi sumber ekonomi kepada nelayan di kawasan Tok Bali yang berhampiran jajaran laluan dan stesen projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ketua Bahagian Perkhidmatan dan Akademik UMK, Dr Nurhanan Abdul Rahman berkata pihaknya sedang meninjau syarikat yang berminat untuk menggunakan teknologi ini bagi pengeluaran Ikan Lunak  secara besar-besaran.

“Ikan yang diproses menggunakan teknologi tinggi ini  boleh menjadi sumber makanan yang sangat memudahkan  pengguna kerana rasanya yang unik dan selamat dimakan.

“Bagi mereka yang sentiasa melakukan perjalanan,  Ikan Lunak sangat baik kerana ia boleh dimakan begitu sahaja tanpa dipanaskan atau dimasak semula selepas dikeluarkan daripada bungkusan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Kajian mengenai Ikan Lunak dimulakan September 2018 manakala analisis makanan, ujirasa dan pembungkusan disiapkan pada Jun lepas.

Ia dihasilkan daripada ikan tamban yang banyak tulang sehingga kepada ikan merah yang terkenal dengan masakan kari kepala ikan itu  di kilang MARDI di sini,  yang turut mengilangkan pes segera oleh Kumpulan Usahawan Wanita Nelayan (KUWN) Tok Bali yang mendapat bimbingan daripada unit InsPEK UMK.

Ikan Lunak hanya diperbuat daripada ikan segar yang dibekalkan oleh nelayan Tok Bali dengan menggunakan perapan pes segera keluaran KUWN itu disediakan mengikut citarasa masyarakat Malaysia.

Dr Nurhanan berkata UMK kini bersedia untuk memindahkan teknologi melalui program pemindahan ilmu kepada kelompok sasaran supaya mereka mampu menghasilkan produk yang lebih berkualiti pada masa akan datang.

“Ini perlu jika mereka mahu seiring dengan arus pembangunan yang berlaku di kawasan persekitaran mereka bila projek ECRL bermula tidak lama lagi.

“Menjadi satu kerugian sekiranya mereka terus berpeluk tubuh, tidak melakukan sebarang tindakan sedangkan orang lain menerima tempias daripada pembangunan yang dilaksanakan nanti,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan Ikan Lunak, Dr Nurhanan berkata pihaknya bersedia bertemu dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mencadangkan hidangan Ikan Lunak kepada pesakit di hospital sebagai  makanan sihat dan selamat dimakan kerana tulang ikan  sudah dilembutkan dan boleh disajikan pada bila-bila masa.

“Ikan Lunak juga sesuai untuk dijadikan bekalan makanan sihat kepada anggota keselamatan yang berkhidmat di perbatasan negara atau kepada misi antarabangsa  dan bagi mereka yang melancong ke negara yang sukar mendapatkan  makanan halal.

“Tidak keterlaluan, Ikan Lunak sudah bersedia menggantikan ikan sardin untuk sajian di rumah, apatah lagi ekoran kes  ikan sardin  import  yang  tercemar baru-baru ini,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Usaha promosi produk tempatan melalui e-dagang langkah tepat - Saifuddin

 
     

Pesakit kanser tahap empat tangguh rawatan akibat kekangan kewangan

 
     

Sukarelawan sepenuh masa APM bakal terima perlindungan Perkeso

 
     

Aduan kebersihan tandas KLIA berkurang 80 peratus

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel