Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lima rumah kedai musnah dijilat api, kerugian dianggar RM1.2 juta


Tarikh kemaskini: 19/08/2019





KUALA TERENGGANU, 19 Ogos (Bernama) -- Sederet lima lot rumah kedai di Jalan Sultan Mohamad berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa Wei Sin di sini, musnah kira-kira 90 peratus dalam  kebakaran malam tadi dengan nilai kerugian dianggarkan kira-kira RM1.2 juta.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu Mohamad Shoki Hamzah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.33 malam, dan seramai 35 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Jalan Kota dan Marang bersama empat jentera dan dua ‘water tanker’ telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

Katanya tiga daripada lima lot rumah kedai tersebut merupakan kedai lampu hiasan dan barangan elektrik manakala dua lot lagi adalah kedai alat ganti motosikal.

“Semasa tiba, pihak bomba mendapati deretan lot rumah kedai itu telah 70 peratus terbakar dan kebakaran berpunca di bahagian belakang, sebab itu mungkin tiada orang menyedarinya. Jadi kita lewat terima panggilan daripada orang awam,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Katanya semasa operasi dijalankan, pihak bomba berdepan beberapa kesukaran, termasuk struktur bangunan separuh kekal yang terdiri daripada batu-bata dan kayu-kayan selain susunan barang di dalam kedai yang sangat rapat serta padat.

“Satu lagi masalah ialah kedai-kedai tersebut mempunyai banyak bahan mudah terbakar, minyak motor dan sebagainya yang turut mempercepatkan api marak,” katanya.

Beliau berkata api berjaya dikawal daripada merebak ke lot kedai bersebelahan kira-kira pukul 11 malam dan punca kebakaran masih disiasat.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Usaha promosi produk tempatan melalui e-dagang langkah tepat - Saifuddin

 
     

Pesakit kanser tahap empat tangguh rawatan akibat kekangan kewangan

 
     

Sukarelawan sepenuh masa APM bakal terima perlindungan Perkeso

 
     

Aduan kebersihan tandas KLIA berkurang 80 peratus

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel