Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tetak: Ibu jari OCPD Besut disambung terpaksa dibuang kerana jangkitan


Tarikh kemaskini: 18/08/2019





KEMAMAN, 18 Ogos (Bernama) -- Ibu jari Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi yang putus dan disambung semula selepas ditetak lelaki dipercayai pesakit mental Khamis lepas terpaksa dibuang kerana mengalami jangkitan kuman. 

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata keadaan Mohd Zamri dilaporkan sudah stabil selepas menjalani pembedahan kali kedua Jumaat malam untuk membuang semula ibu jarinya itu dan kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

"Pada mulanya pembedahan kali pertama untuk menyambung semula ibu jari yang putus itu berjaya dilakukan pada hari kejadian dan memakan masa selama 12 jam bermula pukul 5 petang.

"Tetapi pada hari esoknya (Jumaat lepas) doktor terpaksa melakukan pembedahan sekali lagi untuk membuang ibu jari tersebut kerana ia didapati telah dijangkiti kuman dan sampai ke otak, “ katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kemaman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, di sini hari ini.

Katanya Mohd Zamri masih menggunakan alat bantuan pernafasan dan dijangka mengambil masa tiga bulan untuk betul-betul pulih sebelum dapat kembali bertugas.

Terdahulu majlis tersebut menyaksikan, Supt Hanyan  Ramlan yang berpengalaman selama 26 tahun terutama dalam bidang jenayah berat telah dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kemaman yang baharu menggantikan Supt Mohd Said Ibrahim yang bertukar ke IPD Seremban dengan jawatan sama.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din.

Dalam perkembangan lain Aidi turut meminta orang awam terutama nelayan yang terlihat atau menemui mayat  di laut supaya melaporkan segera kepada pihak polis atau Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu.

"Terdapat dakwaan bahawa ada nelayan yang menemui mayat dipercayai lelaki yang hilang semasa berkayak di perairan Mersing, Johor, 8 Ogos lepas tetapi tidak memaklumkan kepada pihak berkuasa.

"Oleh itu saya memohon kepada mana-mana nelayan atau orang awam yang terlihat atau mempunyai petunjuk supaya melaporkan dengan segera kerana keluarga mereka sangat berharap dapat membawa pulang mangsa dalam apa jua keadaan," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga Singapura Tan Eng Soon, 62, yang hilang ketika berkayak di perairan Mersing, Johor yang masuk hari ke-10 hari ini diteruskan dengan sektor pencarian seluas 100 batu nautika persegi dari persisir pantai Merchang, Marang hingga ke muara Kuala Terengganu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel