Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Op SAR warga Singapura hari ke-10 tumpu pesisir pantai


Tarikh kemaskini: 18/08/2019





KUALA TERENGGANU, 18 Ogos (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga Singapura Tan Eng Soon yang hilang ketika berkayak di perairan Mersing, Johor yang masuk hari ke-10 hari ini diteruskan dengan sektor pencarian seluas 100 batu nautika persegi dari pesisir pantai Merchang, Marang hingga ke muara Kuala Terengganu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, keluasan pencarian hari ini diperkecilkan berbanding 300 batu nautika persegi semalam bagi memberi tumpuan pencarian di pesisir pantai.

"Operasi SAR yang dikoordinasikan oleh APMM hari ini melibatkan aset laut sebanyak enam buah bot milik pelbagai agensi keselamatan yang mana berlaku pertambahan daripada jumlah aset yang digunakan berbanding empat buah bot semalam.

“Keadaan laut yang bergelora turut menyukarkan operasi pencarian yang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya seramai 80 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia  turut sama terlibat dalam usaha pencarian yang bermula pukul 8 pagi tadi.

Tan, 62, dan seorang lagi rakan senegaranya, Puah Geok Tin, 57, dilaporkan hilang pada 8 Ogos selepas kayak yang dinaiki mereka terpisah dengan 13 lagi rakan di antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang di Mersing, Johor berikutan laut bergelora dan angin kuat.

Pada Rabu, mayat Puah ditemukan di perairan Kuala Kemaman dan susulan penemuan itu, Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) telah diwujudkan di pejabat Zon Maritim Kemaman, sejak Khamis lepas.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel