Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penduduk yakin Lynas penuhi syarat kerajaan


Tarikh kemaskini: 18/08/2019





KUANTAN, 18 Ogos (Bernama) -- Penduduk di kawasan Balok yakin Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Gebeng di sini, dapat memenuhi kriteria yang ditetapkan kerajaan dalam melanjutkan lesen operasi kilang memproses nadir bumi itu. 

Ketua Kampung Balok Mansor Mokhtar, 48, berkata ketetapan itu menyebabkan Lynas kini perlu lebih serius khususnya dalam mencari Tapak Pelupusan Kekal (PDF) bagi residu Water Leach Purification (WLP), seperti yang disyaratkan kerajaan. 

"Saya yakin Lynas boleh memenuhi syarat itu kerana sebelum ini pun, apabila ditetapkan syarat, mereka sedaya upaya mengikutnya. Keputusan kerajaan menyambung lesen juga baik bukan hanya untuk pekerja Lynas, tetapi juga bagi pembangunan kawasan sekitar. 

"Lynas perlu menggunakan sebaik-baiknya tempoh enam bulan ini untuk menerangkan dengan lebih jelas mengenai operasi mereka kepada orang awam, yang mungkin tidak mendapat maklumat sebenar," katanya semasa dihubungi Bernama di sini, hari ini. 

Pada 15 Ogos lalu, kerajaan melanjutkan lesen operasi Lynas, yang sepatutnya tamat September ini, kepada enam bulan dengan syarat membina PDF, mengemukakan perancangan pembinaan kemudahan 'cracking and leaching' dan menamatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan penggunaan semula residu WLP sebagai CondiSoil dalam bidang pertanian.  

Seorang lagi penduduk Kuantan, Datuk Shaharuddin Shamsuddin, 69, menyifatkan keputusan kerajaan itu sebagai 'memberi kelegaan' kepada 1,000 pekerja Lynas, yang kebanyakkannya terdiri daripada rakyat tempatan. 

Katanya, berdasarkan pengalaman sendiri, operasi Lynas yang beroperasi sejak 2012 banyak memberikan limpahan ekonomi di kawaan setempat seperti penduduk selain turut aktif melakukan tanggungjawab sosial korporat di kawasan sekitar. 

"Kami amat berharap Lynas dan kerajaan negeri Pahang dapat mencapai persetujuan dalam tapak PDF dalam tempoh disyaratkan supaya kilang itu boleh terus beroperasi," katanya. 

Bagi Bahazelan Abd Wahab, 65, yang menyokong keputusan kerajaan berkata sudah pasti mereka di Balok sendiri akan terus menentang operasi Lynas jika mendapati operasinya tidak selamat kepada penduduk berhampiran. 

Bagaimanapun, beliau berkata tidak pernah mendengar ada penduduk yang sakit disebabkan operasi kilang itu sejak ia mula beroperasi sejak tujuh tahun lalu. 

"Kami bukan penduduk kampung yang langsung tidak faham dengan operasi kilang itu. Ramai juga di antara kami yang terdiri daripada golongan terpelajar. 

"Malah, kami sendiri telah mendengar banyak penerangan oleh mereka yang terpelajar dalam hal ini dan semuanya mengatakan operasi Lynas dijalankan mengikut peraturan dan selamat," katanya. 

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel