Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Manik Seramik: Daripada hobi, kini mampu jana pendapatan lumayan


Tarikh kemaskini: 18/08/2019





KUCHING, 18 Ogos (Bernama) -- Bermula daripada sekadar hobi yang dilakukan pada waktu lapang, kini Helena David Kalum, usahawan wanita berasal dari Betong itu mampu menjana pendapatan lumayan dengan mengusahakan pelbagai jenis manik seramik untuk dijadikan sebagai cenderamata.

Helena, 45, berkata minatnya yang mendalam terhadap manik dan seramik mendorong beliau untuk mengikuti kursus di bawah selian Pejabat Wilayah SIRIM Sarawak untuk mengetahui selok-belok pembuatan produk kraftangan berkenaan.

“Pada mulanya saya hanya suka-suka untuk buat manik seramik ini, tetapi bila sudah lama, rasa seronok, tambahan pula tiada apa yang hendak dibuat di rumah selain ia juga dapat menjana pendapatan untuk saya,” katanya kepada Bernama di sini.

Menurut Helena, manik seramik Sarawak itu dibentuk terlebih dahulu menggunakan tangan sebelum dimasukkan ke dalam ketuhar khas selama dua hari pada suhu melebihi 1,000 darjah Celsius.

“Kemudian, manik seramik berkenaan akan diwarnakan menggunakan pewarna khas yang diimport dan dimasukkan semula ke dalam ketuhar berkenaan untuk jangka masa dan suhu yang sama,” katanya.

Mengulas lanjut, Helena berkata penghasilan manik berkenaan bukan mudah kerana ia memerlukan ketelitian serta kreativiti bagi menjadikan ia lebih menarik dan mengikut citarasa pembeli.

Katanya, manik seramik berkenaan akan dijual dengan harga antara RM60 hingga RM250 mengikut bentuk serta kreativitinya dan dijual di pameran jualan yang diadakan di sekitar bandar raya ini.

“Ada juga orang kenamaan (VIP) dari Sarawak yang membuat tempahan khas dan ‘custom made’ manik seramik ini mengikut kemahuan mereka.

“Terdapat pelbagai jenis cenderamata yang boleh dihasilkan daripada manik seramik ini antaranya rantai, gelang tangan, anting-anting dan ada juga dijadikan sebagai pasu perhiasan kecil dan banyak lagi,” katanya.

Pada masa akan datang, Helena yang menjual produknya secara dalam talian menerusi Facebook ‘Helena Craft Borneo’ mempunyai impian untuk melebarkan perniagaannya dengan membuka kedai cenderamata sendiri, selain membuka reruai sekiranya terdapat program atau festival yang berlangsung di sekitar Sarawak.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Longuin Gilan gigih hasilkan kraftangan pada usia 70 tahun

 
     

Peguam keluarga Nora Anne hadir di Mahkamah Seremban bagi pengurusan kes

 
     

Pengerang jadi bandar pintar dalam tempoh lima tahun

 
     

Influenza: Dua kelas ditutup di Pulau Pinang

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel