Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

"Tak pernah dengar angin sekuat itu" - Mangsa ribut


Tarikh kemaskini: 17/08/2019





KUANTAN, 17 Ogos (Bernama) -- "Tak pernah seumur hidup saya mendengar bunyi angin sekuat itu sehingga atap zink pun seperti hendak tercabut. Terus saya baca apa sahaja doa yang terlintas di fikiran." 

Demikian kata suri rumah Noriah Sulaiman, 52, apabila ditanya mengenai kejadian ribut yang melanda rumahnya di Kampung Gong Halt, Kuala Krau di Temerloh dekat sini, sekitar 4.30 petang ini.

Ribut yang berlaku antara 15-20 minit, itu juga menyebabkan enam keping atap zink di bahagian dapur rumahnya melayang ke belakang rumah. 

"Nasib baik tiada yang cedera kerana saya sempat mengarahkan semua enam anak yang semasa itu berada di dapur untuk segera ke ruang tamu kerana bunyi angin semakin kuat. 

"Kami dengar bunyi kuat dan bila berpaling, ternampak atap sudah diterbangkan angin yang kemudiannya disusuli hujan," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini. 

Sementara itu, peniaga ikan patin Mohd Sapery Ab Hadi, 52, berkata atap zink dapur rumahnya di Kampung Bangau Tanjung, Temerloh yang dijadikan tempat berniaga turut diterbangkan ribut, menyebabkan peralatan di dalamnya basah akibat hujan. 

Mohd Sapery berkata, beliau tidak sempat untuk mengalihkan barang kerana reaksinya semasa itu adalah mahu segera keluar dari rumah dan berteduh di bawah pokok, ekoran bimbang ditimpa atap. 

"Saya panik pada awalnya, namun selepas beberapa minit, saya mengambil keputusan berdiri di tepi jalan dan menahan kereta supaya berhenti… saya bimbang jika atap melayang terkena kereta orang," katanya. 

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) menerusi kenyataan medianya, mengesahkan 10 rumah terjejas akibat ribut di Temerloh setakat ini, dengan kerosakan yang dialami dikategori  sebagai kecil dan sederhana. 

Antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Baru Belenggu, Kampung Paya Keladan, Kampung Rantau Panjang, Jalan Seri Kemuning Indah dan Kampung Belenggu dengan anggaran kerugian masih dalam siasatan. 

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel