Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penduduk Chini sukar, bekalan air terganggu sejak seminggu lepas


Tarikh kemaskini: 17/08/2019





PEKAN, 17 Ogos (Bernama) -- Penduduk Gugusan Felda Chini di sini  mendakwa aktiviti harian mereka terganggu disebabkan gangguan bekalan air, yang difahamkan telah berlanjutan sejak lebih seminggu lepas.

Mereka berkata ketiadaan air lebih dirasai mereka yang mempunyai anggota keluarga yang ramai, golongan peniaga atau semasa hendak mengadakan majlis seperti kenduri yang memerlukan bekalan air yang banyak. 

Pemilik bengkel motosikal dan pusat cucian kenderaan di Felda Chini Timur 3 di sini, Mohd Harif Mohd Yaman, 27, berkata gangguan bekalan air untuk tempoh lama itu adalah yang kedua tahun ini, dengan kali pertama berlaku sebelum Ramadan.

"Bekalan air putus hampir sebulan dan hanya pulih betul-betul pada bulan puasa. Saya sendiri terpaksa menghentikan sementara perniagaan mencuci kenderaan kerana tiada air... untuk kali ini, sudah seminggu juga tidak beroperasi. 

"Saya harap mereka yang terlibat segera mengambil langkah sewajarnya untuk memulihkan bekalan. Air keperluan asas dan mereka yang berniaga seperti saya atau kedai makan antara yang paling terjejas dengan ketiadaan air," katanya kepada Bernama semasa ditemui di kedainya di sini, hari ini. 

Mohd Harif juga mendakwa masalah sama berlaku di kawasan sekitar termasuk Felda Chini 1, 2 dan 3 selain Felda Chini Timur 1, 2 dan 3 dengan ada masanya di sesetengah kawasan, bekalan air pulih untuk tempoh yang sekejap pada waktu awal pagi. 

"Selalunya saya membuka paip sebelum tidur supaya jika bekalan air pulih, sekurang-kurangnya saya dapat menadah sedikit air. Biasanya jika ada sekalipun, tekanan air  rendah dan sukar untuk dapat menyimpan air dalam kuantiti yang banyak," katanya. 

Bagi penduduk Felda Chini Timur 2, Syarifah Saudah Syed Abdullah, 40,  masalah air menyebabkan keluarganya terpaksa membeli air bagi memudahkan kerja pihak katering pada perkahwinan sepupunya yang berlangsung hari ini. 

Katanya, penjualan air itu dilakukan penduduk setempat pada harga antara RM35 hingga RM45 bagi 1,000 liter, sebagai upah mengambil air di mata air bukit berhampiran selain bayaran kos lori yang digunakan untuk mengangkut air itu. 

"Mereka jual air kerana tahu susah untuk kami di sini mendapatkan bekalan secara berterusan. Kami juga boleh menghubungi mereka jika mahu membeli air. Biasanya penduduk tunggu di luar rumah untuk menadah air yang dibeli. 

"Bagaimanapun, air itu agak terhad kerana perlu diagihkan kepada banyak rumah. Kami faham kerana semua pun memerlukan air untuk aktiviti seharian sedangkan bekalannya tidak begitu banyak kerana mereka yang menjualnya mahu mengambil air pun sudah memakan masa (untuk menadah di mata air)," katanya. 

Seorang lagi penduduk, Yunus Awang Che, 52, pula berkata walaupun pihak seperti Pengurusan Air Pahang Berhad ada menghantar bekalan air menggunakan lori, jumlah air yang diterima tidak mencukupi untuk menampung keperluan seharian. 

Beliau berkata air itu digunakan secara berjimat-cermat dengan keutamaan diberikan untuk perkara yang penting seperti memasak, mengambil wuduk atau 'urusan' tandas.

"Baju di rumah saya sudah bertimbun tidak dibasuh dan saya juga sekadar mandi ala kadar sahaja dalam masa seminggu ini bagi menjimatkan air," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel