Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

194 mempelai diraikan dalam Majlis Walimatulurus Perdana 2019


Tarikh kemaskini: 17/08/2019





BANDAR PERMAISURI, 17 Ogos (Bernama) -- Seramai 194 pasangan mempelai diijabkabul hari ini di seluruh Terengganu melalui Majlis Walimatulurus Perdana 2019.

Antara pasangan yang ditemubual ialah Muhammad Amirul Hariz Zaaba, 21, dan Nurul Hazmera Ruslan, 23, yang bersyukur kerana melalui program itu majlis perkahwinan mereka dapat dipercepatkan.

“Dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,100 saya memerlukan masa yang lebih lama untuk mengumpul wang simpanan untuk melangsungkan perkahwinan.

"Jika mengikut perancangan awal kami memerlukan masa lebih setahun lagi untuk mengumpul wang,” kata Muhammad Amirul Hariz yang bekerja sebagai juruteknik kilang.

Mereka ditemui pada Majlis Walimatulurus Perdana 2019 peringkat Setiu di sini hari ini yang turut disertai 13 pasangan yang lain.

Bagi Herpa Saffar, 27, iaitu anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah yang dinikahkan dengan Nur Syafina Asnani Alpatlo, 22, seorang anak jati Terengganu, berpendapat majlis itu telah membantu mengurangkan kos kenduri yang perlu ditampung bagi pihaknya dan isteri.

“Ketika ahli keluarga isteri memberitahu mengenai program berkenaan, saya dan isteri tidak melepaskan peluang untuk turut menyertai majlis ini… Untuk membuat kenduri bagi kedua-dua belah pihak kami memerlukan kos yang sangat besar ekoran jarak negeri yang jauh.

“Saya juga dapat menampung perbelanjaan perjalanan keluarga isteri ke majlis sebelah saya di Kota Kinabalu nanti,” kata Herpa.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut hadir pada majlis itu berkata, program itu inisiatif Kerajaan Negeri dalam memudahkan urusan anak muda yang ingin mendirikan rumahtangga.  

“Untuk kos setiap pasangan dianggarkan kira-kira RM4,000 yang mana turut merangkumi pakaian persalinan, makan dan minuman serta tempat berlangsungnya majlis perkawinan.

“Kadangkala mereka ini (pasangan pengantin) mempunyai pelbagai kekangan, jadi ada perkara kita boleh usahakan di peringkat Kerajaan Negeri… Tinggal lagi rakyat negeri ini yang selayaknya merebut peluang,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel