Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penstrukturan semula ESSCom diharap tingkatkan keupayaan agensi terlibat


Tarikh kemaskini: 17/08/2019





SANDAKAN, 17 Ogos (Bernama) -- Penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) diharap akan meningkatkan lagi keupayaan agensi terlibat dalam menjaga keselamatan di kawasan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCom Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan berkata penstrukturan semula itu sedang dibincangkan dalam Majlis Keselamatan Negara yang akan memperincikan langkah-langkah untuk memantapkan keselamatan di pantai timur Sabah.

"Kita berharap penstrukturan semula ESSCom ini juga akan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap ESSCom dan keyakinan mereka terhadap keselamatan untuk menjalankan aktiviti harian seperti biasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Santai Merdeka ESSCom bersama rakyat di Sandakan di sini hari ini.

Noor Alam berkata pihaknya juga bersyukur dengan penerimaan baik rakyat terhadap ESSCom dan kebanyakan rakyat merasakan kewujudan ESSCom sangat diperlukan dalam mengekang kegiatan jenayah di pantai timur Sabah, khususnya jenayah rentas sempadan.

Beliau turut menghargai sokongan dan kerjasama agensi keselamatan dalam menjayakan usaha ESSCom memastikan keselamatan di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong berkata ESSCom telah menjalankan tanggungjawab di pantai timur Sabah dengan baik dan merupakan elemen penting dalam mewujudkan perasaan selamat dalam kalangan masyarakat, termasuk pelancong.

Dalam menjaga keselamatan nelayan di perairan, beliau juga akan berusaha meyakinkan kerajaan untuk mewajibkan pemasangan Sistem Pemantauan Automatik (AIS) pada kapal nelayan di Sabah, khususnya di pantai timur.

Terdahulu, Komander ESSCom Datuk Hazani Ghazali berkata kerjasama ESSCom dengan jabatan dan agensi kerajaan sentiasa diperkemaskan dan ditingkatkan melalui pertemuan pelbagai hala, perbincangan dan perkongsian maklumat.

Beliau juga meminta kerjasama masyarakat untuk bertanggungjawab ke atas keselamatan diri dan keluarga serta tidak menyerahkan aspek keselamatan kepada pasukan keselamatan semata-mata.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel