KfiqrAo9lK0 Zakir Naik beri keterangan di Bukit Aman
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Zakir Naik beri keterangan di Bukit Aman


Tarikh kemaskini: 16/08/2019





KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Penceramah bebas Dr Zakir Naik selesai memberi keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman, di sini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam.

Zakir hadir di Bukit Aman selepas solat Jumaat hari ini dan dilihat meninggalkan ibu pejabat polis itu pada 8.15 malam ini.

Beliau yang berpakaian putih dan berkopiah, kelihatan meninggalkan Bukit Aman dengan sebuah kereta jenis Toyota Innova dan cuba ditahan anggota media bagi mendapatkan ulasannya, namun tidak berjaya.  

Setakat ini, masih tiada sebarang kenyataan dikeluarkan Bukit Aman mengenai kehadiran Zakir di Bukit Aman.

Antara kenyataan kontroversi Zakir ialah semasa ceramahnya pada 3 Ogos, di mana beliau dilaporkan mendakwa penganut Hindu Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi, berbanding Dr Mahathir.

Beliau juga turut dilaporkan membuat kenyataan kritis terhadap masyarakat Cina di Malaysia dengan berkata mereka perlu diusir terlebih dahulu sebagai respons kepada desakan supaya beliau diusir dari negara ini.

Semalam, polis telah menerima 115 laporan dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan berhubung isu berkenaan.

Berikutan itu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PDRM akan memanggil Zakir untuk disoal siasat polis berhubung kenyataannya yang dikatakan berbaur perkauman.

Pada Selasa lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata masalah yang dihadapi kerajaan ialah Zakir, tidak boleh dihantar balik ke negara asalnya, India, kerana bimbang dibunuh.

Bagaimanapun, beliau terbuka kepada sebarang cadangan untuk menghantar Zakir ke mana-mana negara yang mahu menerima penceramah itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel