Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Keluarga berharap dapat jawapan rungkai kematian tragis Nora Anne


Tarikh kemaskini: 16/08/2019





SEREMBAN, 16 Ogos (Bernama) -- Keluarga Nora Anne Quoirin, remaja warga Ireland berusia 15 tahun yang ditemui mati pada Selasa setelah hilang selama 10 hari dari sebuah resort yang diselubungi hutan hujan menaruh harapan untuk mendapat jawapan bagi merungkai misteri kehilangannya.

Keluarga itu berkata demikian semasa menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu keluarga itu ketika berdepan saat-saat sukar menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Lucie Blackman Trust, sebuah badan amal Britain yang membantu rakyatnya semasa menghadapi krisis di luar negara.

"Hari ini Timbalan Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan Exco Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan (Nicole Tan Lee Koon) menziarahi keluarga kami. Kami berpeluang untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka atas apa yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia, pasukan polis, pasukan mencari dan menyelamat, penduduk tempatan dan sukarelawan untuk membantu kami.

"Tragis, seperti yang kita tahu, ini tidak cukup untuk menyelamatkan Nora. Keputusan bedah siasat bedah telah memberikan beberapa maklumat yang membantu kita memahami punca kematian Nora. Tetapi anak gadis yang tidak berdosa ini mati dalam keadaan yang sangat kompleks dan kami berharap bahawa tidak lama lagi kami mendapat lebih banyak jawapan bagi banyak persoalan. Kami masih berusaha untuk memahami situasi yang berlaku dalam 10 hari yang lepas, " kata keluarga itu.

Menurut kenyataan itu, keluarga berkenaan juga mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Malaysia atas sokongan dan kerjasama yang berterusan dengan kerajaan dan polis antarabangsa ketika siasatan mengenai elemen jenayah dan kes orang hilang masih berjalan.

"Kami akan membawa balik mayat Nora untuk disemadikan, berdekatan dengan keluarga tercinta di Perancis dan Ireland," kata keluarga itu.

Nora Anne bersama ibu bapanya, Sebastien Marie Philipe dan Meabh Jaseprine Quoirin, tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort penginapan itu pada 3 Ogos, sehari sebelum remaja tersebut dilaporkan hilang.

Laporan bedah siasat semalam mendapati kematian Nora Anne tidak mempunyai unsur jenayah dan mengesahkan bahawa remaja perempuan itu mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh panjang dan tekanan yang berpanjangan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

OKU mengaku tidak salah lakukan amang seksual terhadap anak kandung

 
     

Anggota JPJ Terengganu menyamar penumpang bas ekspres

 
     

Kedah perkasa kedudukan dalam industri kertas teknologi hijau

 
     

Wabak coronavirus tidak jejas tahun melawat Johor -- Exco pelancongan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel