Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KLFA gunakan pasukan guaman sebelum adakan AGM


Tarikh kemaskini: 16/08/2019





KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) akan menggunakan khidmat satu pasukan guaman bagi memastikan badan induk itu dapat menjalankan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM)  pada November ini dengan lebih teratur.

Ahli Jawatankuasa KLFA, R. Kannan berkata keputusan untuk menggunakan pasukan guaman berkenaan dicapai dalam mesyuarat ahli jawatankuasa (AJK) KLFA yang bersidang pada bulan lepas.

“Pasukan guaman ini akan menasihati kami langkah seterusnya yang harus dilakukan sebelum kami mengadakan AGM pada November nanti,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Untuk rekod, sembilan ahli gabungan KLFA yang kini digantung keahlian, dilaporkan membuat aduan kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) susulan kegagalan KLFA mengadakan mesyuarat pemilihan AJK bagi penggal 2018-2022 pada November 2018.

Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi surat bertarikh 22 Feb lepas, telah mengarahkan KLFA untuk mengadakan kongres tahunan mereka sebelum atau pada 31 Mei ini atau berdepan tindakan pembatalan pendaftaran oleh PJS.

KLFA bagaimanapun dilaporkan menghantar permohonan baharu kepada PJS, beberapa bulan lepas yang bersetuju dengan cadangan KLFA untuk mengadakan AGM selewat-lewatnya November ini.

Dalam pada itu, Kannan yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KLFA mendedahkan, sejumlah 51 pasukan telah mendaftar dengan mereka untuk bersaing dalam Liga KLFA yang bermula secara rasmi, hari ini, dan dijangka berakhir pada Disember nanti.

Daripada jumlah berkenaan, Kannan memaklumkan 11 pasukan akan bersaing dalam Liga Super, 14 pasukan dalam Divisyen Satu, selain masing-masing 13 pasukan dalam Divisyen Dua yang dibahagikan kepada dua kumpulan.

Beliau memaklumkan KLFA turut mengambil pendekatan baharu dengan menggabungkan sebahagian besar pemain Piala Belia (Bawah 19) dan Piala Presiden (Bawah 21) Kuala Lumpur dengan pemain pasukan Kelab Bola Sepak Cheras Perdana (CCP) yang bersaing dalam Liga Super KLFA.

“Kami dedahkan pemain muda kami dalam saingan Liga Super KLFA bagi memastikan mereka berada dalam tahap terbaik untuk menghadapi saingan Piala Belia dan Piala Presiden pada musim depan.

“Dengan menyertai Liga Super KLFA, maka pemain muda kami dapat didedahkan dengan lebih banyak perlawanan berbanding hanya 20 perlawanan dalam Piala Belia dan Piala Presiden sahaja, sebelum ini,” jelas Kannan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel