Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Industri hiliran lada hitam jadi sebahagian daripada program keusahawan desa


Tarikh kemaskini: 16/08/2019





KOTA KINABALU, 16 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah bercadang membina pusat pemprosesan produk lada hitam di Ranau sebagai sebahagian daripada program keusahawanan desa.

Menteri berkenaan Datuk Ewon Benedick berkata pihaknya telah menerima permohonan daripada Persatuan Penanam dan Pengusaha Lada Sabah untuk mewujudkan pusat pemprosesan itu.

“Saya telah meminta pegawai berkaitan di kementerian ini yang bertanggungjawab ke atas program pembangunan usahawan untuk memudahcara permohonan dan pelaksanaan pembinaan pusat pemprosesan itu, melibatkan peruntukan tidak melebihi RM200,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Pembangunan Usahawan Hiliran Lada Sabah di sini, hari ini.

Ewon berkata penanaman dan perusahaan industri lada hitam semakin berkembang pesat di negeri itu dan sehubungan itu kerajaan wajar menyediakan program sokongan yang berkaitan, antaranya Program Pembangunan Keusahawanan Desa dan Program Satu Daerah Satu Industri. 

Menurut Ewon, kementerian itu juga akan membina tiga kompleks keusahawanan desa yang baharu di Kota Belud, Keningau dan Lahad Datu.

Katanya kompleks tersebut bakal menempatkan enam hingga lapan bangunan keusahawanan, sekali gus boleh ditawarkan kepada usahawan hiliran lada hitam dari daerah tersebut.

“Ini merupakan industri keusahawanan baru yang kita mahu bangunkan kerana sehingga hari ini, kita sudah menyediakan beberapa pusat pemprosesan untuk industri antaranya minyak kelapa dara, pemprosesan sarang walit, kraftangan, batik, bungkusan makanan kering dan basah dan kosmetik,” kata beliau.

Berdasarkan statistik Lembaga Lada Malaysia, beliau berkata sebanyak 250 pengusaha tanaman lada hitam di 17 daerah di Sabah telah berdaftar dengan badan itu setakat Disember 2018, melibatkan keluasan tanaman 41.91 hektar dengan jumlah tanaman 84,551 pokok.

Menurutnya Keningau, Kota Marudu, Ranau, Tenom, Tuaran, Pensiangan, Kimanis dan Kota Belud merupakan antara daerah penanaman utama lada hitam di Sabah.

 -- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel