Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

APMM kecilkan pencarian, terima maklumat penemuan mayat di perairan Dungun


Tarikh kemaskini: 16/08/2019





CHUKAI, 16 Ogos (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga Singapura Tan Eng Soon yang hilang ketika berkayak di perairan Mersing, kini tertumpu di perairan Kemaman hingga perairan Merchang di Marang susulan maklumat penemuan satu mayat yang masih memakai jaket keselamatan di Perairan Dungun oleh nelayan tempatan petang semalam. 

Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan mayat tersebut awal pagi tadi melalui kumpulan WhatsApp nelayan tempatan di perairan berkenaan, iaitu kira-kira 40 batu nautika dari kawasan pencarian. 

“Bagaimanapun, dukacitanya mayat tersebut tidak diikat atau diletak petanda. Buat masa sekarang kita gunakan maklumat ini untuk kita lebih fokus atau mengecilkan kawasan pencarian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jeti Zon Maritim Kemaman, di sini hari ini.

Tan, 62 dan seorang lagi rakan senegaranya, Puah Geok Tin, 57, dilaporkan hilang pada 8 Ogos lepas selepas kayak yang dinaiki mereka terpisah dengan 13 lagi rakan di antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang, Mersing berikutan laut bergelora dan angin kuat. 

Bagaimanapun, pada Rabu, mayat Puah ditemui di perairan Kuala Kemaman dan susulan penemuan itu , Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) telah diwujudkan di pejabat Zon Maritim Kemaman, sejak semalam.

“Pencarian hari ini melibatkan enam buah bot iaitu empat bot APMM, Polis Marin Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia masing-masing sebuah bot.

“Walaupun cuaca pada hari ini lebih elok berbanding semalam, namun keadaan berjerebu menghadkan penggunaan aset kita. Sebab itu pencarian lebih tertumpu dengan penggunaan aset laut sahaja,” katanya yang memberi taklimat terkini operasi SAR warga Singapura itu yang memasuki hari ke lapan hari ini. 

Beliau berkata operasi SAR esok akan diluaskan ke arah utara sehingga ke Kuala Terengganu memandangkan terdapat kemungkinan mangsa dihanyutkan oleh arus laut yang kuat.

Sementara itu, anak sulung Tan, Liane Tan, 30, yang tiba di sini tengah hari tadi berharap lebih banyak petunjuk diperolehi bagi memudahkan operasi pencarian bapanya.

“Melalui sokongan nelayan tempatan, kami berharap akan mendapat lebih banyak petunjuk. Itulah yang kami harapkan sekarang,” katanya yang ditemui di Jeti Zon Maritim Kemaman.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel