Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penghidap sakit tulang belakang bersyukur terima bantuan Peka B40


Tarikh kemaskini: 16/08/2019





BUTTERWORTH, 16 Ogos (Bernama) -- Seorang wanita menarik nafas lega dan bersyukur, kerana dapat menjalani pembedahan tulang belakang, selepas menerima bantuan Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (Peka B40) bagi alat perubatan prostesis dan implan untuk tulang belakangnya, baru-baru ini.

Maznah Abdullah, 60, yang mengalami masalah sakit tulang belakang sejak empat bulan lalu, selepas hampir setahun terjatuh dalam bilik air di rumahnya, menerima bantuan peralatan protesis dan implan, untuk merawat penyakitnya itu yang bernilai RM10,500.

"Alhamdulillah pada 19 Jun lepas makcik selamat menjalani pembedahan, dan baki untuk proses itu (pembedahan) dibantu Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Makcik mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu terutama pihak Peka B40 dan ZPP, kerana jika tanpa bantuan mereka, mungkin makcik masih belum jalani pembedahan, serta dalam kesakitan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu Maznah menerima kunjungan Ketua Komunikasi Korporat ProtecHealth Corporation (ProtecHealth) Sdn Bhd, Khairul Faizi Dalaiil, bagi melihat perkembangan kesihatan Maznah di rumahnya di Kampung Baru, Bagan Dalam di sini.

Maznah berkata sebelum ini, beliau, suaminya Mohd Ali Mustafa, 66, serta lima anaknya runsing, kerana tidak mempunyai duit mencukupi untuk menampung kos pembedahan, termasuk alat perubatan berjumlah kira-kira RM16,000, sebelum dimaklumkan mengenai Peka B40, satu inisiatif Kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan bagi membantu golongan berpendapatan rendah.

Menurutnya, beliau dan suami tidak berkerja, malah anak-anak mereka berusia 19 hingga 44 tahun juga bukan orang senang dan hanya mampu memberi bantuan perbelanjaan bulanan sahaja.

Selain Maznah, ProtecHealth turut menziarahi seorang lagi penerima bantuan, Yeap Phaik Lee, 55, di Lebuh Macallum, George Town, yang merupakan pesakit kanser payudara dan menerima insentif melengkapkan rawatan kanser dan tambang pengangkutan.

Sementara itu, Khairul Faizi berkata Maznah merupakan penerima bantuan paling tinggi Peka B40, dalam usaha Kerajaan menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah, dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit.

Beliau berkata sejak Peka B40 diperkenalkan sehingga semalam, seramai 48,416 penerima Peka B40 telah mendapatkan saringan kesihatan percuma, dan ketika ini 1,310 klinik swasta dan 844 klinik kesihatan Kementerian Kesihatan, di seluruh negara didaftarkan sebagai klinik Peka B40.

"Sehingga semalam juga, pihak kami menerima 265 permohonan membabitkan RM1.7 juta dan 85 permohonan yang melibatkan kos RM571,120 telah diluluskan, manakala yang lain masih dalam proses. 

“Manfaat Peka B40 ialah saringan kesihatan percuma di klinik kesihatan, bantuan alat perubatan sehingga RM20,000, insentif melengkapkan rawatan kanser RM1,000 dan insentif tambang pengangkutan ke hospital sehingga RM1,000," katanya.

Menurutnya, penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangan mereka yang berusia 50 tahun ke atas, secara automatik layak menyertai Peka B40 dan tiada pendaftaraan khusus diperlukan untuk menyertainya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman web www.pekab40.com.my atau menghubungi pusat khidmat pelanggan Peka B40 di talian 03-27307575, katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel