Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Terima keputusan Kabinet lanjut lesen Lynas


Tarikh kemaskini: 16/08/2019





PEKAN, 16 Ogos (Bernama) -- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin hari ini, berkata beliau menerima keputusan Kabinet melanjutkan lesen operasi kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Gebeng di sini. 

"Ini adalah keputusan Kabinet yang telah dibincangkan dan dipersetujui. Saya adalah ahli Kabinet, jadi saya perlu mengikut keputusan yang diputuskan oleh Kabinet," katanya semasa ditanya pendiriannya dalam isu itu.  

Zuraida berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada majlis penyampaian hadiah acara memanah Sukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Pahang di Arena Mahkota di sini, hari ini. 

Beliau juga memaklumkan kementeriannya akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang untuk membuat semakan tapak yang sesuai dijadikan Tapak Pelupusan Kekal (PDF) bagi sisa Water Leach Purification (WLP) yang dihasilkan Lynas. 

Pembinaan PDF dalam tempoh enam bulan adalah antara syarat yang wajib dipenuhi Lynas dalam keputusan Kabinet melanjutkan lesen operasi kilang itu, yang dijadualkan berakhir bulan hadapan, kepada tempoh enam bulan. 

"Kerajaan negeri akan mencadangkan tapak untuk PDF dan kerajaan Persekutuan akan membuat semakan sama ada sesuai atau tidak. Ia perlu mengikut garis panduan standard seperti berapa jauh dari penduduk dan kawasan perumahan. 

"Setakat ini, kita belum mendengar ada tapak yang telah dicadangkan, namun kita harap kerajaan negeri beri kerjasama kepada Lynas supaya mereka boleh membuat perancangan berhubung tapak PDF itu," katanya. 

Sementara itu, mengulas mengenai insiden lif terhempas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di Kuala Lumpur pada 2 Ogos lalu, Zuraida berkata siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian masih berjalan. 

Beliau juga memaklumkan kementeriannya akan mengadakan mesyuarat pelarasan bagi memastikan lif di kawasan perumahan dipantau dan diselenggara secara berkala bagi mengelakkan kejadian sama berlaku. 

"Lif ini dibawah kelolaan Kementerian Sumber Manusia di mana ia adalah kawalan Niosh di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan mereka yang membuat keputusan. 

"Namun, memandangkan insiden ini membabitkan perumahan rakyat di bawah KPKT, jadi kita akan memastikan setiap lif yang ada dilakukan pemantauan berkala dan harus dipantau serta diselenggara mengikut jadual," katanya.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel