Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Wan Azizah ucap takziah penuh emosi ketika bertemu keluarga Nora Anne


Tarikh kemaskini: 16/08/2019





SEREMBAN, 16 Ogos  (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkunjung ke ibu negeri ini hari ini bagi melahirkan rasa dukacita beliau kepada keluarga Nora Anne Quoirin, remaja berdarah Perancis-Ireland, yang meninggal dunia selepas melalui kejadian tragis selepas hilang dalam hutan dekat sini.

Mayat remaja berumur 15 tahun itu dijumpai pada Selasa susulan satu operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran oleh pihak berkuasa Malaysia selepas beliau dilaporkan hilang dari vila percutian di resort eko-pelancongan dekat sini pada 4 Ogos.

Ia suatu pertemuan penuh emosi dengan linangan air mata apabila Dr Wan Azizah memeluk ibu Nora Anne, Meabh Jaseprine Quoirin, ketika ditemukan di resort berkenaan, yang dibuat secara tertutup. demikian menurut anggota dewan undangan negeri Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon yang turut hadir. 

“Timbalan Perdana Menteri kelihatan sedih sepanjang pertemuan itu,” kata Tan yang mengiringi Dr Wan Azizah bersama-sama Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusof, pegawai yang mengeluarkan hasil pemeriksaan post-mortem ke atas badan Nora Anne, semalam.

Menurut pegawai negeri itu lagi, Meabh dan suami Sebastien Marie Philipe didengar mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas usaha yang dijalankan dalam kes itu. 

Wan Azizah enggan mengulas mengenai hasil pertemuan itu apabila dihampiri para pemberita kemudian.

Beliau hanya menyebut keluarga berkenaan memohon diberi privasi semasa menghadapi waktu sukar ini.

Hasil post-mortem menunjukkan bahawa Nora Anne, remaja berkeperluan khas, meninggal dunia akibat pendarahan dalaman kemungkinan akibat kelaparan dan stres.

Keluarga Quoirin itu telah mendaftar masuk ke resort di pinggir hutan hujan tropika itu pada 3 Ogos untuk percutian selama dua minggu.

Mereka memaklumkan perkara itu selepas mendapati Nora Anne hilang dari biliknya keesokan pagi, dengan tingkap di biliknya terbuka.

Dr Wan Azizah terdahulu diberi taklimat mengenai kes itu oleh Mohamad di balai polis Pantai di sini.

Ketika ditemui pemberita di sini, beliau menyifatkan kematian Nora Anne sebagai satu yang tragis dan amat menyedihkan

Beliau turut mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat atas usaha tanpa mengenal penat untuk mencari Nora Anne, yang mayatnya dijumpai di gaung kira-kira 2.5 km dari eko-resort itu pada hari ke-10 operasi.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel