Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiga termasuk suami isteri maut kemalangan di Gua Musang


Tarikh kemaskini: 16/08/2019





GUA MUSANG, 16 Ogos (Bernama) -- Tiga termasuk sepasang suami isteri maut dan 12 cedera apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah van dinaiki dua keluarga bertembung di Kilometer 15 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, di sini, awal pagi tadi. 

Mangsa yang meninggal dunia pemandu mini MPV Toyota Avanza, Che Azmi Che Hamzah, 48, dan isterinya, Nor Hayati Mohamad, 43, berasal dari Taman Mesra, di sini manakala seorang lagi yang maut  adalah pemandu van Toyota Hiace tetapi namanya belum diketahui.

Dalam kemalangan kira-kira jam 4.50 pagi itu, 12 mangsa yang cedera termasuk tiga anak pasangan itu, Mohamad Faris Faisal Che Azmi, 15, Mohamad Afiz Zulhilmi Che Azmi, 23, dan Nur Damia Sofea Che Azmi, 7.

Mangsa lain yang cedera adalah penumpang van iaitu Wan Zakiah Wan Abdul Razak, 39; Khaulah Zulfaizan, 11; Ahmad Zaid Zulfaizan, satu tahun; Siti Fatimah Zulfaizan,15; Muhammad Saad Zulfaizan, 3, Masyitah Zulfaizan, 14, Wawaddah Zulfaizan, 7, Sakinah Zulfaizan, 5, dan Solehah Zulfaizan, 9.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Mohd Taufik Maidin berkata kemalangan itu berlaku ketika pasangan suami isteri terbabit bersama tiga anak mereka dalam perjalanan dari Kuala Lipis menghala ke Gua Musang. 

Mohd Taufik berkata sebaik tiba di lokasi kawasan selekoh, MPV yang dipandu Che Azmi hilang kawalan lalu memasuki laluan kanan sebelum bertembung dengan van yang dinaiki 10 sekeluarga dari arah bertentangan.

Beliau berkata, Nor Hayati bersama pemandu van meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan badan manakala Che Azmi meninggal dunia di Hospital Gua Musang (HGM). 

"Semua mangsa yang cedera itu juga, dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama sebelum dibenarkan pulang," katanya. 

Mayat mangsa dihantar Ke HGM untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA. 


 

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel