Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiada sebarang aktiviti perlombongan bauksit mega di Kota Tinggi - Exco


Tarikh kemaskini: 16/08/2019





JOHOR BAHRU, 16 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Johor mengesahkan tiada sebarang aktiviti perlombongan bauksit yang beroperasi secara mega di Kota Tinggi seperti yang dilaporkan akhbar, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata berdasarkan semakan yang dirujuk kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS), kerajaan negeri juga mengesahkan bahawa tiada sebarang kelulusan diberikan kepada firma swasta untuk menjalankan kegiatan tersebut.

"Malah, hasil semakan tersebut juga tidak menemukan sebarang maklumat mahupun sebarang laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) sebagaimana yang didakwa diperoleh oleh firma tersebut," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tan berkata Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) turut mengesahkan bahawa tiada permohonan dikemukakan oleh sebarang firma swasta bagi menjalankan aktiviti perlombongan bauksit di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.

Beliau berkata Kerajaan Johor memandang serius laporan akhbar berkenaan terutamanya apabila melibatkan faktor alam sekitar secara menyeluruh dan berjangka masa panjang.

Katanya, sehubungan itu, Kerajaan Johor akan mengikuti rapat perkembangan dan pemantauan berkaitan laporan berkenaan menerusi jabatan dan agensi yang berkaitan.

Tan mengeluarkan kenyataan itu sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse, semalam, yang menyebut Kerajaan Johor tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana syarikat berhubung pelaburan projek mega perlombongan bauksit di negeri itu.

Terdahulu, sebuah portal baru-baru ini melaporkan The One Minerals Mining Sdn Bhd (TOMM) dan firma pelaburan Hong Kong, Via East West Capital (VEWC) melabur AS$350 juta (RM1.47 bilion) untuk melombong 2,833 hektar bauksit di Johor bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pengarah Urusan TOMM, Looi Kam Yong, dilaporkan berkata perlombongan mineral di atas tanah milik FELDA di Kota Tinggi yang dijangka bermula dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang itu akan dibahagikan kepada lima bahagian, yang mana bahagian pertama merangkumi pelaburan bernilai AS$50 juta (RM210 juta) membabitkan kawasan keluasan 404.7 hektar.

Katanya  projek yang mendapat kelulusan EIA oleh JAS itu bakal mewujudkan 100 hingga 150 pekerjaan baharu bagi setiap 404.7 hektar kepada penduduk setempat.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     

Jerebu: penduduk Melaka hadkan aktiviti luar

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel