Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

731 kes jenayah siber babitkan kerugian RM20.6 juta di P.Pinang


Tarikh kemaskini: 15/08/2019





GEORGE TOWN, 15 Ogos (Bernama) -- Jenayah siber di Pulau Pinang semakin membimbangkan dengan 731 kes dilaporkan membabitkan kerugian kira-kira RM20.6 juta sejak Januari hingga Julai tahun ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T. Narenasagaran berkata penjenayah siber itu melakukan pelbagai modus operandi dengan yang terkini melibatkan ramai mangsa menerusi Macau Scam, penipuan cinta siber (Love Scam), penipuan e-kewangan dan belian online.

"Saya lihat trend jenayah siber di Pulau Pinang sangat membimbangkan dan boleh dikatakan  sekurang-kurangnya tiga kes jenayah siber dilaporkan berlaku di negeri ini setiap hari sepanjang tempoh antara Januari hingga Julai tahun ini. 

"Mangsa pula dari pelbagai kaum serta pangkat termasuk yang berpendidikan tinggi," katanya pada sidang akhbar mengenai kes jenayah siber dan pengumuman penganjuran Seminar Keselamatan Antarabangsa Kelima di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau berkata sepanjang tempoh sama seramai 920 individu telah ditahan di bawah jenayah komersial dan 402 orang daripadanya telah dituduh di mahkamah dengan kebanyakan mereka adalah 'keldai akaun' iaitu memberikan akaun mereka untuk digunakan sindiket jenayah siber.

Menurutnya, siasatan pihaknya juga mendapati kebanyakan keldai akaun ini tidak tahu akaun mereka digunakan oleh sindiket jenayah siber kerana kad bank mereka dipegang oleh Ah Long berikutan meminjam wang dan ia digunakan sindiket terbabit.

Narenasagaran berkata statistik pada tahun ini juga menunjukkan peningkatan mendadak berbanding dua tahun sebelum ini iaitu 965 kes sepanjang tahun 2017 dengan kerugian RM19.3 juta dan 1,031 kes tahun lalu (RM29.7 juta).

Beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan modus operandi sindiket jenayah siber itu memandangkan 99.9 peratus mesej atau panggilan yang diterima, meminta mereka memindahkan wang ke akaun lain adalah palsu. 

"Peminjam daripada mana-mana agensi kewangan hanya menerima mesej untuk mereka membayar balik pinjaman sahaja, bukannya diberi nombor akaun lain dan perlu membayarnya menerusi online. Begitu juga dengan panggilan kononnya mereka disiasat oleh pihak berkuasa atas kesalahan tertentu sehingga akaun bank akan dibekukan dan perlu memindahkan wang ke akaun lain," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF) Pulau Pinang, Datuk Seri Syed Jaafar Syed Ali mempelawa pelbagai pihak menyertai Seminar Keselamatan Antarabangsa ke-lima yang akan memfokuskan kepada cabaran dan kesan daripada jenayah siber.

Katanya seminar itu membariskan sembilan ahli panel yang merupakan pakar khususnya dalam jenayah siber termasuk Presiden Persatuan Fraud Bertauliah Malaysia (ACFE) Datuk Seri Akhbar Satar dan Pengerusi Eksekutif Internet Fraud Watchdog Ltd (IFW) Ken Gamble.

"Seminar itu akan diadakan selama dua hari iaitu pada 24 dan 25 Sept ini di The Wembley, St. Giles Hotel di sini dan pendaftaran serta maklumat lanjut mengenainya boleh didapati dengan melayari laman web www.mcpfpg.org/iss2019," katanya.

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel