Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bombardier APMM bantu padam kebakaran di Miri mulai esok


Tarikh kemaskini: 14/08/2019





KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Kebakaran di kawasan belukar tanah gambut di Miri, Sarawak yang berlarutan sejak 3 Ogos lepas, menyebabkan keadaan jerebu di kawasan itu dengan kualiti udara pada tahap bahaya.

Justeru, Agensi Pengurusan Bencana  Negara (Nadma) telah mendapat kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk menggunakan pesawat Bombardier bagi memadam kebakaran tanah gambut di Kuala Baram itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dalam kenyataan di sini hari ini, berkata operasi memadam kebakaran menggunakan pesawat itu akan bermula esok dan pada masa sama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan terus melakukan operasi pemadaman seperti biasa.

Sehingga kini keluasan kawasan yang terbakar ialah 104 hektar dengan 41.5 hektar berjaya dipadamkan.

Dr Wan Azizah berkata kerajaan negeri Sarawak telah memohon untuk menjalankan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan kebakaran itu tetapi Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mendapati keadaan atmosfera di kawasan itu tidak stabil dan tidak sesuai untuk OPA dijalankan minggu ini.

“Nadma telah memohon MET Malaysia dan pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk bersiapsiaga melakukan OPA sekiranya keadaan atmosfera bersesuaian,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah menasihati penduduk di kawasan itu untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah serta sentiasa memakai topeng apabila berada di kawasan terbuka.

"Nadma juga akan membiayai pembelian topeng muka bagi kerajaan negeri Sarawak," katanya.

Jabatan Alam Sekitar (JAS), dalam kenyataan hari ini berkata, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Miri terus merekodkan kualiti udara pada tahap berbahaya dengan bacaan IPU 361 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri sehingga jam 11 pagi tadi.

Sekolah Kebangsaan Kuala Baram 2 pula merekodkan bacaan sangat tidak sihat (IPU 268) disebabkan kebakaran belukar tanah gambut yang berhampiran dengan stesen-stesen kualiti udara.

Menurut JAS, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dan bahagian barat Sarawak.

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     

Senarai penuh Kabinet Sarawak

 
     

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel