Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Mayat wanita dipercayai warga Singapura hilang ketika berkayak dibawa ke hospital untuk bedah siasat


Tarikh kemaskini: 14/08/2019





KEMAMAN, 14 Ogos (Bernama) -- Mayat wanita dipercayai salah seorang daripada dua warga Singapura yang hilang ketika berkayak di perairan Mersing, Khamis lepas, telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata mayat itu tiba di Jeti Zon Maritim Kemaman pada kira-kira pukul 4.45 petang tadi.

“Sejurus tiba, mayat dibawa pihak polis ke Hospital Kemaman,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Khamis lepas, dua warga Singapura itu iaitu lelaki, Tan Eng Soon, 62, dan wanita, Puah Geok Tin, 57, dilaporkan hilang pada kira-kira 5.40 petang selepas kayak dinaiki mereka terpisah daripada 13 lagi rakan mereka antara Pulau Sri Buat di Pahang dan Pulau Mertang di Mersing berikutan laut bergelora dan angin kuat.

Rashidilhadi berkata berikutan penemuan mayat itu APMM telah menggerakkan satu aset udara bagi mencari seorang lagi mangsa di sekitar kawasan mayat wanita itu dijumpai.

“Operasi pencarian udara yang disertai seorang pegawai dan tiga anggota APMM bermula tengah hari tadi selepas kami (APMM) menerima laporan penemuan mayat itu,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Maritim Malaysia Zon Mersing Komander Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata mayat lengkap berpakaian dan memakai jaket keselamatan itu ditemui terapung kira-kira 12.50 tengah hari di kedudukan lima batu nautika timur Kuala Kemaman, oleh nelayan tempatan.

Haris Fadzillah berkata lokasi mayat ditemui adalah 18 batu nautika daripada kayak milik dua warga Singapura itu, ditemui semalam, manakala 100 batu nautika dari lokasi terakhir mereka dilaporkan hilang.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kanak-kanak dua tahun maut dipercayai ditikam bapa saudara

 
     

Kanak-kanak OKU catat rekod MBR, sertai kayuhan rentas sempadan 222.2km

 
     

Taktik sembunyi dadah bernilai RM1 juta dalam timbunan tanah tumpas

 
     

Pelancong penuhi lokasi menarik di Langkawi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel