Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Wilayah Shaanxi berminat jalin kerjasama ekonomi, perdagangan dengan Kedah


Tarikh kemaskini: 14/08/2019





ALOR SETAR, 14 Ogos (Bernama) -- Wilayah Shaanxi di China menyatakan minat untuk menjalin kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan dengan Kedah, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Dalam kenyataan di sini hari ini, hasrat itu dinyatakan oleh Setiausaha Jawatankuasa Parti Wilayah Shaanxi, Hu Heping dalam pertemuan dengan Mukhriz di Xi'an, China pada Selasa.

Mukhriz kini dalam rangka lawatan kerja selama seminggu ke Xi’an dan Shanghai bermula Ahad lepas.

Hu dalam ucapan pada pertemuan itu berkata jalinan kerjasama tersebut ke arah merealisasikan kesepakatan yang dicapai antara Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sidang Kemuncak Kedua Kerjasama Antarabangsa Satu Jalur Satu Laluan di Beijing, pada April lepas.

Beliau turut berharap dapat meningkatkan kerjasama hasil perkongsian strategik yang telah terjalin antara China dan Malaysia melalui inisiatif Satu Jalur Satu Laluan.

Katanya Shaanxi kini mengambil peluang daripada kedudukan geografi dan keunggulan dalam bidang sains, pendidikan dan industri untuk memajukan ekonomi hab, portal dan telekomunikasi, selain membina sebuah zon perdagangan bebas.

Katanya antara bidang yang boleh diterokai ialah pertanian, pelancongan, pengangkutan dan pertukaran kepakaran.

Sementara itu, dalam ucapan balas, Mukhriz mempelawa usahawan dari Shaanxi untuk mengambil bahagian dalam program industrialisasi Kedah, termasuk memajukan Taman Sains dan Teknologi dan Zon Khas Ekonomi Sempadan di Bukit Kayu Hitam, Bandaraya Getah di Padang Terap dan pembangunan bandaraya aeroangkasa dalam projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

"Kami bersedia untuk mengambil peluang daripada inisiatif Satu Jalur Satu Laluan untuk meningkatkan kerjasama dengan Shaanxi dan menyediakan persekitaran yang memuaskan untuk pelabur Shaanxi di Kedah, selain terus mengukuhkan hubungan sesama kita," katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel