Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JTK buat semakan terhadap majikan mengenai pematuhan gaji minimum


Tarikh kemaskini: 14/08/2019





KOTA SAMARAHAN, 14 Ogos (Bernama) – Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak akan sentiasa membuat semakan dari semasa ke semasa terhadap majikan agar sektor swasta di negeri ini mematuhi pelaksanaan gaji minimum RM1,100.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, selain itu JTK juga memberikan maklumat dan garis panduan kepada pihak majikan agar memberikan gaji pekerja berdasarkan kelayakan.

“Majikan jangan menyalah tafsir bahawa gaji minimum yang ditetapkan kerajaan itu adalah untuk semua kelayakan.

“Untuk gaji pokok haruslah mengikut kelayakan, kelulusan dan akademik individu tersebut, sama ada berdasarkan Sijil Kemahiran, Diploma, Sarjana dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas majlis  pelepasan  Jelajah Kerjaya Kenyalang 3.0 dan program Karnival Kerjaya Peringkat Bahagian Samarahan di sini, hari ini.

Mahfuz berkata, beliau juga mahu pekerja berani untuk tampil membuat aduan kepada JTK sekiranya ada majikan tidak mengikut garis panduan gaji yang telah ditetapkan.

“Pekerja tidak usah bimbang atau takut dibuang kerja kerana memberikan maklumat dan nama majikan kepada pihak JTK,

“Jika ada aduan diterima, ia memudahkan JTK untuk menjalankan siasatan, JTK juga akan merahsiakan segala maklumat peribadi anda dan tidak akan mendedahkannya kepada majikan,” katanya.

Sejumlah 20 majikan yang menawarkan lebih daripada 1,000 kekosongan jawatan dalam pelbagai industri telah mengambil bahagian dalam Program Karnival Kerjaya yang bermula di Kota Samarahan ini.

Seterusnya jelajah akan beralih ke Betong, Sibu dan Miri bagi memberikan peluang kepada pencari kerja yang lain di sekitar Sibu, Sarikei, Kapit dan Mukah.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Perlis mahu pendakwah saudara baharu sentiasa lengkapkan ilmu

 
     

Profesionalisme pakar patologi negara diyakini

 
     

Polis akan panggil penganjur perhimpunan anti-Lynas

 
     

Bacaan IPU di Sri Aman kekal 'sangat tidak sihat'

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel