Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MAQIS Pulau Pinang rampas serbuk kuning telur tanpa permit sah


Tarikh kemaskini: 14/08/2019





BUTTERWORTH, 14 Ogos (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas serbuk kuning telur dari India yang dibawa masuk ke negara ini tanpa dokumen yang sah seperti tiada permit import (IP) di Pelabuhan Dermaga Dalam (DAD), di sini semalam.

Pengarah MAQIS Pulau Pinang Zarina Ramli berkata pihaknya membuat pemeriksaan pukul 5 petang dan mendapati sebanyak 750 kilogram (kg) serbuk kuning telur dianggarkan bernilai RM17,909.66 cuba dibawa masuk tanpa dokumen yang sah.

"MAQIS telah mengeluarkan kompaun kepada pengimport tersebut setelah mendapat kebenaran Timbalan Pendakwa Raya serta peringatan kepada pengimport supaya mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya sentiasa mengambil langkah serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam keselamatan makanan.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan dan tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara.

Sementara itu, Zarina berkata pihaknya juga berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk produk hasilan haiwan dari pelbagai negara tanpa dokumen yang sah seperti IP dan sijil kesihatan dari negara asal  di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Katanya hasil pemeriksaan yang dijalankan sepanjang bulan Julai sehingga semalam, pihaknya telah membuat rampasan pelbagai daging haiwan seperti daging babi, itik, lembu dan kambing dengan anggaran berat sebanyak 80 kg.

"Perbuatan mengimport produk hasilan haiwan tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan menurut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata produk daging-daging itu adalah untuk mencegah penularan penyakit seperti virus African Swine Fever (ASF) yang boleh disebarkan melalui babi hidup, daging babi segar, babi sejuk beku, daging babi proses seperti babi salai, sosej dan sebagainya.

Semua rampasan itu dihantar ke Stesen Kuarantin Haiwan (SKH) Batu Maung untuk tindakan pelupusan mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan, katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     

Senarai penuh Kabinet Sarawak

 
     

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel