Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Keluarga pekerja am menang saman kes kematian dalam tahanan


Tarikh kemaskini: 13/08/2019





IPOH, 13 Ogos (Bernama) -- Keluarga pekerja am Kamarulnizam Ismail memenangi kes saman mereka di Mahkamah Tinggi di sini terhadap 12 individu dan kerajaan kerana kematiannya di Penjara Tapah kira-kira lima tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman  Anslem Charles Fernandis, dalam penghakimannya hari ini, berkata kesemua defendan bertanggungjawab atas kecuaian yang mengakibatkan kematian Kamarulnizam pada 7 Mac 2014.

Beliau memerintahkan keluarga Kamarulnizam dibayar RM100,000 kerana penahanannya yang menyalahi undang-undang,  RM50,000 bagi salah laku dalam jawatan awam, RM12,000 bagi kos perbicaraan penuh dan RM2,000 bagi perbelanjaan pengebumian.

Menurut Anslem, selepas Kamarulnizam dijatuhi hukuman penjara 14 hari, dia ditahan di lokap balai polis Seberang Prai selama dua hari sebelum dipindahkan ke Penjara Tapah pada 6 Mac.

Hakim itu menyifatkan penahanan Kamarulnizam di dalam lokap adalah menyalahi undang-undang kerana berdasarkan Seksyen  282 Kanun Tatacara Jenayah, adalah mandatori, apabila terdapat perintah, bagi pegawai polis untuk bertindak dalam tempoh masa yang munasabah, untuk memindahkan mereka yang didapati bersalah ke penjara, dan bukannya selepas dua hari.

Mahkamah Majistret di Pulau Pinang menjatuhi hukuman penjara ke atasnya setelah dia tidak dapat membayar denda RM800 selepas mengaku bersalah memiliki barangan curi pada 4 Mac, 2014.

Anslem juga berkata pegawai warden di Penjara Tapah sepatutnya mengawasi Kamarulnizam dan lebih berwaspada selepas dia diberi ubat untuk cirit-birit. 

Mengenai punca kematian,  Anslem berkata beliau bersetuju dengan dapatan ahli patologi selepas memeriksa mayat dan keputusan bedah siasat bahawa Kamarulnizam meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru.

Ibu Kamarulnizam, Rahaya Salleh, 69, memfailkan saman itu menerusi peguam M. Visvanathan terhadap pihak-pihak berkenaan pada 3 Mac 2017 dan memohon ganti rugi bagi tanggungan, salah laku dalam jawatan awam, ganti rugi teruk, teladan dan khas.

Mereka memfailkan saman itu kerana tidak berpuas hati selepas mendapati lebam di beberapa bahagian badannya.

Rahaya, ketika ditemui pemberita, berkata beliau bersyukur kerana perjuangan mereka membuahkan hasil dan keadilan telah ditegakkan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     

Senarai penuh Kabinet Sarawak

 
     

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel