Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Petani terjejas ribut di Kedah diminta segera mohon bantuan bencana


Tarikh kemaskini: 13/08/2019





ALOR SETAR, 13 Ogos (Bernama) -- Petani, yang terjejas akibat ribut pada Jumaat lepas diminta segera memohon bantuan di Pejabat Pertanian daerah masing-masing bagi memudahkan penyaluran bantuan bencana yang disediakan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri, Azman Nasrudin berkata, petani yang terjejas perlu membawa bersama laporan polis serta mengisi borang yang disediakan bagi membolehkan setiap permohonan diproses.

“Bantuan ini bertujuan meringankan beban yang ditanggung petani terutama pesawah, namun jumlah dan bentuk bantuan itu belum diputuskan lagi oleh pihak kerajaan.

“Setakat ini, kita masih mengumpul data dan maklumat dari jabatan terbabit dan berharap petani yang terjejas dapat membuat permohonan segera… bantuan ini hanya dikhususkan kepada petani yang terkena ribut sahaja,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Bagaimanapun Azman berkata, jumlah bantuan juga adalah bergantung kepada tahap kerosakan dan keluasan selepas bancian dibuat.

Ahad lepas, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Salahuddin Ayub berkata kementeriannya telah meminta pegawai-pegawai di agensi berkaitan untuk turun padang membuat pemerhatian terhadap kawasan pertanian di negeri Utara yang terjejas akibat kejadian ribut Jumaat lepas.

Katanya, pemerhatian dibuat pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan pejabat-pejabat Jabatan Pertanian di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis bagi membolehkan satu laporan terperinci dibuat berhubung kerosakan yang dialami petani akibat bencana itu sebelum menentukan bentuk-bentuk bantuan yang perlu disalurkan.

Kejadian ribut pada malam Jumaat lepas di Kedah menyebabkan sejumlah 1,536 rumah di 12 daerah terjejas apabila mengalami kerosakan pelbagai antaranya pada bahagian bumbung diterbangkan angin kencang selain banyak pokok tumbang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan kejadian ribut di beberapa negeri itu berpunca daripada taufan Lekima yang melanda beberapa wilayah di China.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel