9Ph3EIhLw3Q Polis percaya mayat yang ditemui adalah Nora Anne
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis percaya mayat yang ditemui adalah Nora Anne


Tarikh kemaskini: 13/08/2019





NILAI, 13 Ogos (Bernama) — Polis yakin mayat wanita berkulit cerah yang ditemui petang tadi, adalah mayat remaja Ireland Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang pada 4 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor dalam sidang media di Balai Polis Pantai, Seremban berkata bagaimanapun pengesahan hanya dapat dibuat selepas laporan bedah siasat diperoleh. 

“Keluarga mangsa juga telah ke Hospital Tuanku Jaafar untuk pengecaman mayat,” katanya. 

Mengulas lanjut, mayat wanita itu ditemui oleh sepasukan pendaki sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 1.57 petang.

Mayat itu ditemui di lurah berdekatan dengan anak sungai (small stream), 2.5 kilometer dari resort Nora Anne dilaporkan hilang.

Beliau berkata mayat dibawa keluar daripada lokasi yang ditemui menggunakan helikopter dan terus diterbangkan ke HTJ. 

Dalam pada itu, Mazlan berkata mayat itu ditemui dalam keadaan tidak berpakaian (bogel) dan enggan mengulas sama ada terdapat sebarang kecederaan pada tubuh mayat berkenaan dan menegaskan perlu menunggu laporan bedah siasat.

Ditanya pemberita adakah kawasan mayat dijumpai itu pernah dicari (cover), Mazlan berkata kawasan itu merupakan sebahagian daripada kawasan pencarian. 

“Kita sudah cover kawasan itu dua kilometer, empat kilometer dan enam kilometer dan kemudian berpatah balik... kita on and off kita covered the area,” katanya.

Ditanya adakah kemungkinan kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Mazlan berkata kes masih lagi disiasat dibawah kes orang hilang. 

Mazlan berkata sebarang perkembangan lanjut mengenai kes berkenaan akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop. 

Terdahulu, Mazlan turut meninjau lokasi penemuan mayat berkenaan dan turut bertemu dengan keluarga Nora Anne. 

Nora Anne disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai oleh keluarganya pada 8 pagi 4 Ogos. 

Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.

— BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Raja Perlis mahu pendakwah saudara baharu sentiasa lengkapkan ilmu

 
     

Profesionalisme pakar patologi negara diyakini

 
     

Polis akan panggil penganjur perhimpunan anti-Lynas

 
     

Bacaan IPU di Sri Aman kekal 'sangat tidak sihat'

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel