Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sekolah daif dibaik pulih selepas kelulusan Kementerian Kewangan - Manyin


Tarikh kemaskini: 13/08/2019





KUCHING, 13 Ogos (Bernama) – Projek membaik pulih dan membangunkan semula sekolah daif di Sarawak akan bermula sebaik sebaik sahaja mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan, kata Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan kepada beliau semasa mengadakan mesyuarat bersama  Menteri Pendidikan Malaysia  Dr Mazlee Malik minggu lepas.

“KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) masih menunggu arahan daripada Kementerian Kewangan untuk memulakan kerja-kerja membaik pulih dan membangunkan semula sekolah daif yang sudah dikenal pasti bagi peringkat awal ini.

“Untuk fasa pertama projek, lima buah sekolah daif telah dikenal pasti dan diberi keutamaan untuk dibaik pulih atau dibina dahulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (MELTA) ke-28 di sini, hari ini.

Manyin berkata sebanyak 37 buah sekolah daif di negeri ini telah disenaraikan dan  dikemukakan kepada KPM untuk tindakan susulan.

Katanya, kerajaan negeri Sarawak telah menjelaskan sejumlah RM350 juta daripada pinjaman  kepada kerajaan Persekutuan untuk diperuntukkan bagi membaik pulih sekolah daif.

Media tempatan melaporkan, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataannya berkata kerajaan Persekutuan akan menyalurkan jumlah sama seperti yang dibayar balik oleh kerajaan negeri sebagai peruntukan untuk digunakan bagi projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

Katanya, kerja membaik pulih sekolah daif di Sarawak akan ditawarkan secara tender terbuka, bagi memastikan ketelusan dan nilai berpatutan berdasarkan tatacara kewangan Kerajaan Persekutuan semasa.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Perlis mahu pendakwah saudara baharu sentiasa lengkapkan ilmu

 
     

Profesionalisme pakar patologi negara diyakini

 
     

Polis akan panggil penganjur perhimpunan anti-Lynas

 
     

Bacaan IPU di Sri Aman kekal 'sangat tidak sihat'

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel