twJjfC6Rzco Kerja pembersihan pokok tumbang di P.Pinang selesai dalam tiga hari
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerja pembersihan pokok tumbang di P.Pinang selesai dalam tiga hari


Tarikh kemaskini: 13/08/2019





GEORGE TOWN, 13 Ogos (Bernama) -- Kesemua pokok yang tumbang dalam kejadian ribut  dan angin kencang pada 9 Ogos lepas dijangka dibersihkan sepenuhnya dalam masa tiga hari, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Jagdeep Singh Deo.

Beliau memberitahu sidang akhbar di sini hari ini, sehingga kini, 96.4 peratus pokok yang tumbang di kawasan pulau dan tanah besar telahpun dibersihkan dari jalan raya.

“Menurut Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), 391 daripada  412 pokok tumbang di 343 lokasi telah dibersihkan manakala di bahagian pulau, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melaporkan 244 daripada 247 pokok telah dibersihkan di 236 lokasi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata pokok yang ditebang di bahagian pulau dan tanah besar kemudian akan diangkut ke stesen pemindahan masing-masing di Batu Maung serta Ampang Jajar.

“Menurut MBPP dan MPSP, 67.8 peratus pokok di pulau dan 61.2 peratus lagi di tanah besar telah diproses di stesen pemindahan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang, dan Alam Sekitar Negeri Phee Boon Poh berkata beliau dimaklumkan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) bahawa syarikat utiliti itu telah menyelesaikan 97 peratus aduan berkaitan gangguan bekalan elektrik disebabkan kejadian ribut itu pada Jumaat lepas.

Phee berkata daripada 2,947 aduan, TNB menyelesaikan 2,853 aduan manakala tindakan untuk menangani  baki 94 aduan lagi dijalankan oleh pasukan teknikal TNB.

"Saya dimaklumkan bahawa keutamaan dalam membaik pulih bekalan elektrik adalah aduan yang membabitkan keselamatan orang ramai. Kami ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menyentuh mana-mana wayar elektrik yang terjatuh, tergantung atau terjurai bagi mengelak daripada terkena renjatan elektrik,” katanya.

Jumaat lepas, beberapa kawasan di Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan kawasan lain di wilayah utara dilanda ribut petir serta angin kencang.

Hujan lebat dan angin kencang mengakibatkan lebih 300 pokok tercabut di Pulau Pinang, dan tiga pusat pemindahan sementara dibuka untuk menempatkan 71 orang.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     

Senarai penuh Kabinet Sarawak

 
     

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel