Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lelaki maut dirempuh semasa kawal lalu lintas


Tarikh kemaskini: 13/08/2019





KUANTAN, 13 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki warga Indonesia maut akibat dirempuh semasa mengawal lalu lintas selepas kereta dipandunya melintang di tengah jalan kerana dilanggar di Kilometer 24, Lebuhraya Central Spine Road (CSR) di Lipis dekat sini, hari ini. 

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata kejadian pada 6 pagi itu menyebabkan mangsa Wagiman Jemiran, 53, yang merupakan peniaga dari Telok Panglima Garang, Selangor maut di lokasi kejadian. 

Katanya mangsa dan empat anggota keluarga dipercayai dalam perjalanan pulang selepas menyambut Hari Raya Aidiladha di Tanah Merah, Kelantan apabila kereta Proton Waja dinaiki mereka rosak di tempat kejadian pada 2 pagi.  

"Mangsa dipercayai mengambil keputusan untuk tidur di dalam kereta bersama anggota keluarga selepas memberhentikan kenderaan itu di bahu jalan, sebelum terjaga apabila bahagian kanan kereta mereka dilanggar sebuah lori. 

"Kemalangan itu menyebabkan kereta mangsa melintang di tengah jalan dan selepas mengeluarkan keluarganya ke tempat selamat, mangsa kembali ke tengah jalan untuk mengawal lalu lintas supaya kereta itu tidak dilanggar. 

"Bagaimanapun, sebuah kereta Perodua Myvi difahamkan telah melanggar mangsa yang berada di tengah jalan sehingga menyebabkan dia tercampak ke bahu jalan," katanya kepada pemberita menerusi kenyataan media di sini, hari ini. 

Azli berkata pemandu lori yang dikatakan melanggar kereta mangsa juga telah melarikan diri dari lokasi kejadian manakala pemandu kereta Perodua Myvi, seorang pekerja swasta dari Wakaf Baru, Kelantan berusia 37 tahun tidak cedera. 

Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Raja Perlis mahu pendakwah saudara baharu sentiasa lengkapkan ilmu

 
     

Profesionalisme pakar patologi negara diyakini

 
     

Polis akan panggil penganjur perhimpunan anti-Lynas

 
     

Bacaan IPU di Sri Aman kekal 'sangat tidak sihat'

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel