Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JPJ laksana e-Bidding di Sarawak hujung September


Tarikh kemaskini: 13/08/2019





KUCHING, 13 Ogos ( Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak akan memulakan penggunaan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) pada 24 September depan.

Pengarahnya, Mohd Syafiq Anas Abdullah berkata JPJeBid akan mula digunakan bagi siri bidaan nombor pendaftaran kenderaan baru QCK bagi Samarahan dan QS dengan hujung L bagi Sibu dan selepas itu bagi Kuching dan Miri dengan siri nombor pendaftaran kenderaan baru yang akan diumumkan nanti.

"Sistem (JPJeBid) ini sudah terlebih dahulu digunakan di Semenanjung bermula 15 April lepas dan mendapat sambutan yang baik," katanya ketika menghadiri Program Korban JPJ 2019 di Surau An Nur, Ibu Pejabat JPJ Sarawak, di sini hari ini.

Syafiq berkata orang ramai dan syarikat di negeri ini yang mempunyai rekod di dalam Sistem MySikap dan berminat membida nombor pendaftaran kenderaan baru terbabit hanya perlu mendaftar di mana-mana cawangan JPJ bagi mendapatkan ID awam yang membolehkan mereka menyertai bidaan sistem itu.

"Sistem ini bukan bagi meningkatkan pendapatan JPJ, tetapi untuk memudahkan urusan pembelian nombor terbabit kerana sebelum ini urusan terbabit yang dilakukan secara manual biasanya ada campur tangan pihak tertentu," katanya.

Katanya, kelebihan JPJeBid itu ia dapat menjadikan bidaan lebih telus di samping mengelakkan penglibatan orang tengah dan memberi peluang orang awam melihat sendiri jumlah bidaan dibuat oleh orang lain.

Selain itu, harga bidaan menggunakan JPJeBid adalah berbeza mengikut harga minimum membabitkan beberapa kategori.

“Bagi kategori nombor bernilai utama, harga minimum ialah RM20,000 dan kenaikan bidaan minimum adalah RM1,000 dan bagi nombor menarik pula harga minimumnya adalah RM3,000 dan kenaikan bidaan minimum RM150," katanya.

Bagi nombor popular pula, harga minimum ialah RM800 dan kenaikan bidaan minimum adalah RM40 manakala nombor biasa, harga minimum RM300 dan kenaikan bidaan minimum adalah RM15.

— BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Jho Low ajar percepat proses pengeluaran jaminan kerajaan - Saksi

 
     

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel