Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Melaka bakal perkenal sistem Respon 2.0 mudahkan aduan rakyat


Tarikh kemaskini: 13/08/2019





MELAKA, 13 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Melaka akan memperkenalkan sistem aduan baharu iaitu Respon 2.0 bagi mempelbagaikan medium aduan rakyat dalam usaha meningkatkan mutu penyampaian dan perkhidmatan awam di negeri itu.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata sistem yang dibangunkan Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri Melaka itu dijangka diperkenalkan dalam masa terdekat.

"Respon 2.0 telah siap dibangunkan dan ia adalah sistem aplikasi yang akan berfungsi menyalurkan aduan atau masalah yang dihadapi rakyat terhadap isu negeri atau perkhidmatan di negeri.

"Sistem ini bertujuan mendapatkan makluman atau respon yang lebih cepat dari kedua-dua pihak sama ada rakyat dan kerajaan negeri atau pihak berkuasa," katanya kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra Ketua Menteri Melaka bersama Geng Viral Melaka di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Sistem Respon 2.0 bukan untuk menggantikan mana-mana sistem aduan awam sedia ada seperti Sistem Pengurusan Aduan Bersepadu (SISPAA) kerana setiap sistem mempunyai fungsi dan manfaat tersendiri.

Katanya berdasarkan rekod, SISPAA telah membantu kerajaan negeri menyelesaikan kira-kira 7,000 aduan rakyat atau awam pada tahun lepas.

Adly berkata pengenalan sistem itu juga bukan menggantikan Program Hari Bertemu Rakyat yang dianjurkan kerajaan negeri setiap minggu bagi memberi peluang rakyat menyalurkan aduan kepada agensi, jabatan atau pemimpin masyarakat secara berdepan.

"Kira-kira 3,000 masalah atau isu rakyat juga telah berjaya diselesaikan menerusi Program Hari Bertemu Rakyat sepanjang tahun lepas," katanya.

Sementara itu, Adly meminta pengendali laman atau media sosial berkaitan 'Melaka' berhati-hati dalam menyalurkan atau menularkan maklumat atau aduan daripada pengikut mereka.

Katanya maklumat atau aduan tersebut perlu dipastikan tepat dan sahih terutama berkaitan Melaka kerana ia boleh memberi impak kepada kerajaan negeri.

"Ada perkara yang diviralkan dapat mempercepatkan pihak berkuasa untuk bertindak dan ada juga yang diviralkan tidak tepat dan memerlukan pengesahan daripada kerajaan negeri," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel