Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiada perbincangan berhubung tapak pelupusan kekal Lynas - MB Pahang


Tarikh kemaskini: 13/08/2019





GENTING HIGHLANDS, 13 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pahang tidak pernah mengadakan perbincangan dengan syarikat memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) berhubung tapak fasiliti pelupusan kekal (PDF) di negeri ini. 

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata setakat ini, beliau tidak pernah berjumpa dengan wakil syarikat itu bagi membincangkan isu berkaitan cadangan PDF untuk sisa buangan Water Leached Purification (WLP) kilang yang beroperasi di Gebeng di Kuantan, dekat sini. 

"Tiada sebarang perbincangan. Jumpa secara bersemuka pun tiada. Jika ada cadangan daripada pihak mereka, keutamaan Kerajaan Negeri sudah pasti kepada keselamatan penduduk. Itu asas kepada pendirian Kerajaan Negeri," katanya kepada Bernama. 

Wan Rosdy ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persafahaman (MoU) antara DSA Development Sdn Bhd (DSA Development) dengan Trinidad Group, Shimao Star Hotel Group dan Go Steam Cell Holdings bagi membangunkan 'The Richz Eco Tourism and Golden Age Retirement City' (The Richz) di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata demikian semasa diminta mengulas laporan sebuah akhbar baru-baru ini, yang mendakwa terdapat lima lokasi di Pahang yang dikenal pasti untuk menjadi PDF sisa buangan WLP yang dihasilkan Lynas. 

Laporan itu mendakwa lima lokasi itu ialah tapak bekas lombong emas dan bijih besi di Lepar, Luit, Padang Tengku, Bukit Ibam dan Chini dan dikatakan pihak terlibat sedang melakukan kajian sebelum dimuktamadkan. 

Sementara itu, Pengerusi DSA Development Mejar Jeneral (Bersara) Datuk Shahrudin Mohd Ali berkata pembangunan projek itu di kawasan seluas 16 hektar di Batu 9, Jalan Lama Gombak-Bentong, menyediakan lokasi terbaik untuk mereka yang mahu melarikan diri daripada kesibukan kota selepas bersara. 

Katanya, idea itu tercetus tiga tahun lepas, apabila beliau mencari tempat tinggal untuk mereka yang bersara dengan kemudahan terbaik kepada golongan pesara lengkap dengan keindahan alam sekitar dan bukannya semata-mata bersifat 'nursing home'. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Richz, Norman Sia berkata projek itu yang disasarkan untuk kejayaan komersial yang mana menyasarkan Nilai Pembangunan Kasar RM2 bilion dan Kos Pembangunan Kasar RM1.2 bilion, dengan keuntungan kasar RM800 juta.

Projek berkenaan yang hanya 10 minit dari bandar Bentong dan 35 minit dari Kuala Lumpur dijangka siap dalam  lima hingga tujuh tahun.

"Projek ini membenarkan orang ramai melalui hari tua dalam persekitaran yang menarik kerana sungai Benus melalui sempadannya dan ia mempunyai beberapa tempat air panas. Durian organik, buah-buahan tempatan, herba semulajadi dan bunga mewangi juga tumbuh di kawasan berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel