Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

ECRL rapatkan jurang ekonomi penduduk - Mohd Radzi


Tarikh kemaskini: 12/08/2019





KOTA BHARU, 12 Ogos (Bernama) -- Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dilihat mampu merapatkan jurang ekonomi penduduk terutama negeri-negeri yang terlibat dalam jajaran projek itu termasuk Kelantan, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata projek berkenaan adalah selari dengan hasrat Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan Gagasan Kemakmuran Bersama yang mahu gabungan infrastruktur tersebut menjadi pemangkin kepada ekonomi masa hadapan.

"Kemakmuran ini bukan sahaja dapat merapatkan jurang ekonomi antara masyarakat dan wilayah, sebaliknya usaha pembangunan ini juga dapat merapatkan jurang ekonomi bandar-bandar di Kelantan dan negeri maju yang lain yang menjadi tumpuan dan untuk kesamarataan.

"Ini antara penekanan diberikan kepada Kelantan, jika kita lihat sewaktu Perdana Menteri membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 pada Oktober lalu, Kelantan dimasukkan antara enam negeri yang bakal diberi peruntukan pembangunan.

“Ini adalah satu rahmat kepada rakyat Kelantan kerana akan memberi limpahan ekonomi kepada mereka," katanya kepada pemberita pada Majlis Korban Perdana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ketereh di Pertubuhan Peladang Sungai Ketereh, di sini, hari ini.

Sebanyak 11 ekor lembu dikorbankan pada majlis yang itu dan diagihkan kepada 100 penduduk sekitar dengan setiap mereka memperoleh satu kilogram daging setiap orang.

Dalam pada itu, Mohd Radzi yang juga Timbalan Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan, berkata pengumuman Menteri Hal Ehwal Ekonomi, yang juga Pengerusi MTNg Kelantan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkaitan lima projek diberi keutamaan oleh kerajaan Persekutuan pada Mac lalu, turut memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.

Beliau berkata lima projek itu membabitkan pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, laluan baharu Pasir Puteh-Machang-Jeli, Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dan Jambatan Palekbang-Kota Bharu.

"Contohnya, bagi projek Jambatan Palekbang di Tumpat yang sekian lama dinantikan rakyat mampu mempercepatkan laluan antara Tumpat ke Kota Bharu berikutan laluan sedia ada yang sesak terutama ketika waktu puncak.

"Begitu juga naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dijangka dapat mengurangkan kesesakan di lapangan terbang selain pembinaan LPT3 pula dapat memberi kemudahan dan tambahan jaringan jalan raya membabitkkan laluan antara ???????Gemuruh di Kuala Terengganu ke Tumpat," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Perlis mahu pendakwah saudara baharu sentiasa lengkapkan ilmu

 
     

Profesionalisme pakar patologi negara diyakini

 
     

Polis akan panggil penganjur perhimpunan anti-Lynas

 
     

Bacaan IPU di Sri Aman kekal 'sangat tidak sihat'

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel