Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Nenek maut cucu parah ditetak


Tarikh kemaskini: 12/08/2019





SHAH ALAM, 12 Ogos (Bernama) -- Seorang wanita warga emas maut manakala cucu lelakinya cedera parah selepas ditetak lima suspek bertopeng bersenjatakan parang di rumahnya di Kampung Tebuk Pulai, Sabak Bernam dekat sini awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, DSP Lim Chee Khoon berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 4 pagi, mangsa P. Runkanaikey, 78, maut akibat cedera parah di seluruh badan manakala cucunya, N. Silamparasan, 22, cedera parah di beberapa bahagian badan.

Lim berkata dalam kejadian itu, cucu mangsa yang merupakan penjual buah kelapa, menyedari kehadiran suspek, bagaimanapun belum sempat dia mengejutkan neneknya yang sedang tidur, kesemua suspek telah memecah masuk rumah berkenaan dan menetak mangsa sehingga mati.

"Ketika itu cucunya bersembunyi di bawah katil dan ketika cuba melarikan diri, dia turut ditetak sehingga cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sabak Bernam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Lim berkata selepas kejadian itu, kesemua suspek melarikan diri menggunakan sebuah kereta Toyota Vios berwarna kelabu, bagaimanapun nombor pendaftaran kereta berkenaan tidak dapat dikenal pasti.

Katanya hasil pemeriksaan pegawainya di tempat kejadian mendapati tiada wang tunai atau barang kemas dilarikan suspek, malah sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger juga tidak dilarikan.

"Polis sedang menyiasat motif kejadian dan usaha memburu kesemua suspek sedang dijalankan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel