Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ansuran RM60 sebulan buka peluang anak muda sertai ibadat korban


Tarikh kemaskini: 11/08/2019





JASIN, 11 Ogos (Bernama) -- Inisiatif murni komuniti Kampung Serkam memperkenalkan bayaran ansuran serendah RM60 sebulan bagi korban sempena Hari Raya Aidiladha, membuka peluang kepada lebih ramai termasuk golongan belia di kampung itu dan kawasan sekitar menunaikan ibadat itu.

Penyelaras program korban berkelompok Kampung Serkam Abdul Hafiz Abu, 40, berkata program yang mula diperkenalkan tiga tahun lalu mendapat sambutan baik, bukan hanya dari belia kampung tersebut tetapi daripada kampung sekitar.

“Biasanya ibadat korban hanya disertai golongan yang telah berumah tangga dan amat jarang untuk melihat golongan belia menyertai sama, kerana kos seekor lembu yang tinggi iaitu sekitar RM3,500 seekor,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Hafiz berkata bagi memberi galakan kepada golongan belia, kadar ansuran bulanan sebanyak RM60 sebulan selama 11 bulan diperkenalkan dan pada tahun ini lapan ekor dikhaskan untuk mereka yang membayar secara ansuran.

“Kami mendapat idea memperkenalkan bayaran ansuran apabila melihat ramai golongan belia lebih berminat menyertai korban di luar negara yang diperkenalkan agensi, kerana harga yang ditawarkan jauh lebih rendah daripada di dalam negara,” katanya.

Abdul Hafiz berkata selain itu, program ini juga mengembalikan semula suasana kemeriahan gotong royong masyarakat dalam menunaikan ibadat tahunan itu, dengan tahun ini 100 peserta terlibat menguruskan 20 ekor lembu dan 14 ekor kambing, dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Serkam.

Salah seorang peserta, Abi Suffian Zainudin, 26, berkata ini merupakan kali kedua beliau menyertai program tersebut dan berterima kasih kepada penganjur, kerana menyediakan kaedah bayaran secara ansuran yang tidak membebankan peserta khususnya generasi belia yang baharu memasuki alam pekerjaan.

“Kadar bayaran ansuran yang rendah membuka peluang kepada kami golongan belia, menunaikan ibadah korban dan semangat muafakat serta kerjasama menyebabkan saya dan rakan-rakan lebih selesa menyertai program di sini, walaupun kampung saya di Port Dickson, Negeri Sembilan,” katanya yang bekerja di sebuah kilang di Batu Berendam, Melaka.

Abi Suffian berkata setiap tahun, beliau pasti akan ternanti-nanti detik ini (korban) kerana disamping dapat menunaikan ibadat, beliau dapat bergaul mesra dengan masyarakat dan penduduk setempat.

“Paling seronok selepas penat seharian memotong daging, kita akan dapat makan hidangan istimewa bersama-sama,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jho Low ajar percepat proses pengeluaran jaminan kerajaan - Saksi

 
     

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel